Pasar Chow Kit daif, 4,000 peniaga mengeluh - Utusan Malaysia

Pasar Chow Kit daif, 4,000 peniaga mengeluh

Peniaga ayam, Muhammad Helmi Othman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasar Raja Bot atau popular dipanggil Pasar Chow Kit yang  menjadi  pusat  membekalkan barang dapur kepada warga kota dan orang luar lebih 60 tahun perlu dinaik taraf agar terus menjadi tarikan pengunjung sekali gus memberi pendapatan kepada 4,000 peniaga di situ.

Kedaifan infrastruktur  di pasar itu menyebabkan lebih separuh iaitu 2,800 peniaga mengeluh apabila barang jualan mereka tidak terjual dan berisiko gulung tikar.

Tinjauan mendapati, keadaan Pasar Chow Kit  `uzur’  dan keadaan itu tidak sesuai dengan kedudukannya yang berada di tengah-tengah ibu negara yang dikelilingi pusat beli-belah besar.

Kedudukan gerai di Pasar Chow Kit yang  tidak tersusun dan ada yang tersorok  menyebabkan pengunjung tidak tahu atau tidak tertarik untuk membeli di situ.

Seorang peniaga, Muhammad Helmi Othman, 35, yang membantu keluarga berniaga ayam di pasar itu sejak 30 tahun lalu berkata, pelanggan semakin kurang mungkin disebabkan  keadaan pasar yang tidak tersusun dan masalah dengan sistem perparitan yang mencacatkan lagi pasar ini.

“Kalau boleh kita harap pihak berwajib  segerakan pembinaan pasar baharu yang tidak siap-siap sejak 2018 sebab  pelanggan malas datang Pasar Chow Kit antaranya kerana tiada tempat letak kereta.

“Bukan sahaja pelanggan tidak selesa malah peniaga pun tidak selesa dengan masalah perparitan yang menyebabkan lantai selalu basah. Malu jugalah dekat pelancong yang datang sebab pasar ini di tengah bandar,” luahnya ketika ditemui semalam.

Menurut Helmi, pihak berwajib patut meniru cara Thailand menguruskan pasar-pasar tradisi mereka sehingga menjadi daya tarikan bukan sahaja buat penduduk sekitar tetapi pelancong.

Seorang lagi peniaga, Sazali Latif, 61, berkata, terdapat projek naik taraf  Pasar Chow Kit namun sehingga sekarang tidak diketahui apa yang berlaku.

“Kita suka meniaga sini kerana akses ke sini mudah dan lokasi strategik di tengah-tengah bandar. Tetapi apabila ia masih tidak dinaik taraf, bukan saja peniaga, malah pengunjung kurang selesa dan paling penting  sukar mendapatkan parkir di sini,” ujarnya.

PENGUNJUNG

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan cawangan Raja Bot, Sharin Darus berkata, jika dulu, pengunjung kawasan itu mencecah antara 10,000 hingga 15,000 sehari, namun kini ia berkurangan kepada 4,000 hingga 5,000 sehari.

“Selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerajaan Pakatan Harapan tidak ambil tahu entang pembangunan di pasar ini. Kerajaan baharu ketika itu cuma ambil tahu pasal tanah Kampung Baru sahaja,” kata beliau.

Penasihat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil kawasan Chow Kit, Yong Pit Wei pula berkata, pihaknya memerlukan seorang wakil rakyat yang mempunyai kuasa untuk perjuangkan hak mereka yang kian lama semakin terbeban ekoran pendapatan yang semakin merudum.

Penasihat persatuan penjaja dan peniaga kecil kawasan Chow Kit, Yong Pit Wei.

“Kedudukan kita terlalu rendah di mata pihak berkuasa… Kita cuma perlukan seorang yang berkuasa sebagai wakil rakyat kita yang bertaraf menteri untuk membawa masalah kita… Jadi pihak berkuasa akan memberi pertimbangan yang sewajarnya.

“Awak boleh lihat gerai makan Melayu di pasar Ria, bungkus habis, 20 lot tutup, Datuk (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) dah bagi sponsor kerusi meja pun habis, bisnes hancur, Cina pun separuh habis sebab orang makin kurang datang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya