KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) mengintai peluang untuk bertanding di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presidennya, Datuk Ansari Abdullah berkata, mengambil kira desakan dan permintaan rakyat Sabah, beliau memberi jaminan parti itu hampir pasti bertanding di kerusi Parlimen itu.
“Tujuan PCS ingin bertanding bukanlah untuk merebut jawatan mahupun ganjaran.
“Sekiranya Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang masing-masing mempunyai satu kerusi sahaja boleh bersuara, kenapa tidak PCS?.
“Parti ini tetap utuh dengan perjuangan untuk menegakkan dan mengembalikan hak rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, mungkin sudah tiba masanya rakyat Sabah berubah arah ke pakatan baharu demi kepentingan rakyat Sabah.
Kerusi Parlimen Kimanis pernah dipegang oleh Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman selama tiga penggal bermula 2004 semasa berada dalam Barisan Nasional (BN).
Ansari berkata, PCS perlu meneruskan perjuangan mendapatkan semula hak rakyat Sabah seperti yang termaktub secara keseluruhannya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Sudah berulang kali kita di Sabah dijanjikan pengembalian semula hak Sabah secara menyeluruh seperti yang termaktub dalam Laporan IGC 1962 dan MA63 namun, selepas PRU apabila memegang kuasa, janji itu tidak pernah dilaksanakan.
“Malah, semasa PRU-14 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 juga pelbagai pihak berjanji manis di hadapan rakyat Kimanis untuk melaksana MA63 tapi, tetap tidak ditunaikan.
“Amat menyedihkan apabila janji hanya tinggal janji dan sehingga kini, rakyat Sabah masih menunggu segala apa yang termaktub dalam MA63 dilaksanakan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, PCS menerima tawaran daripada pelbagai pihak, namun, parti mereka sedia bekerjasama dengan parti atau pemimpin yang boleh membantu mencapai matlamat untuk melaksana MA63 dan bukan sekadar berjanji kosong.
Beliau berkata, rakyat Sabah sudah penat dijanji dan dipermainkan. Sudah terlalu lama kekayaan bumi Sabah diambil dan tidak diberikan kembali kepada anak-anak jati Sabah.
“Cukuplah rakyat Sabah dipermainkan dan dijanji berpuluh tahun tanpa pelaksaan serta komitmen sepenuhnya. Cukuplah rakyat Sabah dilayan seolah-olah mengemis di bumi sendiri,” katanya.
Setakat ini, Parti Warisan (Warisan) dan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing telah mengumumkan calon untuk bertanding di Parlimen Kimanis yang kini disandang oleh Datuk Mohamad Alamin (BN). –UTUSAN