KUALA PILAH: Barisan Nasional (BN) menampilkan calon anak tempatan bagi merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Mengesahkan perkara itu, Pengerusi BN Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim berkata, calon tersebut yang akan diumumkan malam ini di ibu negara juga merupakan salah satu daripada lima nama yang dicadangkan sebelum ini.
“Apapun yang boleh saya beritahu, calon PRU15 (Kuala Pilah) bukan orang luar. Calon kita juga datang daripada senarai yang kita hantar, cadangan kita kepada ibu pejabat BN.
“Kuala Pilah juga tidak kekurangan calon, jadi untuk apa orang luar bertanding di Kuala Pilah,” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN PRU15 Parlimen Kuala Pilah di sini hari ini.
Sebelum ini, Parlimen Kuala Pilah antara kerusi yang disebut-sebut ditandingi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Ia selepas Khairy mengumumkan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di kerusi Parlimen Rembau yang dimenanginya sejak tiga penggal lalu.
Pada PRU lalu, Parlimen Kuala Pilah dimenangi Datuk Eddin Syazlee Shith dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pada ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, Ismail berkata, walaupun Parlimen Kuala Pilah dijangka berdepan pertandingan lebih daripada tiga penjuru, beliau yakin BN dapat kembali merampas kerusi berkenaan. – UTUSAN