TUMPAT: Pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mandol di sini hari ini ‘gempar’ selepas seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) enggan menanggalkan topi keledar yang dipakainya itu mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Keengganan lelaki berkenaan menyebabkan polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa memujuk lelaki berkenaan menanggalkan topi keledar itu sebelum dibenarkan untuk mengundi.
Bagaimanapun kecekapan anggota polis dan petugas SPR berjaya memujuk lelaki berkenaan untuk menanggalkan topi tersebut bagi membolehkan dia mengundi.
Petugas SPR, Nik Nab Nik Soh, berkata, pihaknya terpaksa meminta bantuan polis bertugas untuk memujuk lelaki berusia 32 tahun itu menanggalkan topi keledar selepas enggan berbuat demikian sebelum itu.
“Alhamdulillah lelaki itu akur untuk membuka topi keledar dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Lelaki itu kemudian masuk ke pusat mengundi bagi menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRU15,” katanya.
Sementara itu, lelaki berkenaan ketika ditanya Utusan Malaysia mengenai tindakan itu dia memberitahu malu untuk melihat wajahnya. –UTUSAN