LONDON: Bekas bintang Manchester United, David Beckham dilaporkan bersedia untuk terlibat dalam perbincangan dengan mana-mana pembida berhubung pengambilalihan kelab tersebut.
Ia susulan pengesahan pemilik United, Glazers sebelum ini untuk menjual kelab berkenaan.
Seorang hartawan Britain, Jim Ratcliffe disebut-sebut antara pembida yang berpotensi untuk membeli United.
Laporan Financial Times yang dipetik sebagai berkata, sesiapa sahaja pembida yang berminat membeli kelab ternama tersebut seharusnya membawa bersama bekas bintang England itu untuk memastikan usaha mereka berjaya.
Realitinya pemain legenda England itu tidak mampu untuk membeli bekas kelabnya secara individu tetapi bersedia menyertai mana-mana konsortium.
Beckham menghabiskan masanya hampir sedekad di Old Trafford dengan membantu United meraih enam gelaran Liga Perdana, dua Piala FA dan gelaran Liga Juara-Juara.
Sepanjang di bawah pengurus Alex Ferguson, pemain itu menjaringkan 85 gol dan membantu mencipta 109 jaringan daripada 388 perlawanan.
Biarpun meninggalkan United untuk berhijrah ke Real Madrid pada 2033, dia tetap dianggap ikon di kalangan penyokong Red Devils.
Malah, Beckham tidak mustahil memilih untuk menyokong bidaan Ratcliffe jika hartawan itu bersedia mendapatkan pertolonganya.
“Banyak perubahan perlu dilakukan (ke atas United) dan ia sedang berlaku,” kata Beckham.
Glazers dijangka meletakkan harga antara 6 hingga 8 bilion pound nilai kelab tersebut, bagaimanapun, Ratcliffe yang juga peminat United hanya menawarkan bidaan tidak lebih daripada 5 bilion pound.
Ratcliffe sebelum ini mendedahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Glazers, Ogos lalu ketika khabar angin untuk menjual kelab tersebut seman hangat
diperkatakan.
Selan Ratcliffe, pembida lain yang dilihat berpotensi untuk menguasai United ialah ahli perniagaan, Josh Harris dan David Blitzer, selain Stephen Pagliuca serta Larry Tanenbaum. – Agensi/UTUSAN