PETALING JAYA: Memperkasakan keselamatan makanan antara lima keputusan penting yang
diputuskan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan bagi
mempercepatkan kadar pemulihan sosioekonomi negara selepas pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, empat perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah isu kekurangan pekerja asing, memudahkan pinjaman, mengatasi masalah keciciran selain menaik taraf infrastruktur pelabuhan.

Sulaiman berkata, MPN dalam setiap mesyuarat dan perbincangannya sentiasa mengutamakan isu keselamatan makanan dalam memastikan sumber makanan penduduk di negara ini berada pada tahap
optimum tanpa sebarang masalah dan dalam masa yang sama mengeluarkan syor tertentu kepada kerajaan.
“Bekalan makanan di negara ini bukan sahaja mencukupi malah dapat mengurangkan kesan inflasi
sekiranya tanah-tanah di bawah kerajaan negeri dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan
bahan makanan. Jika langkah berkenaan diambil, Malaysia juga mampu untuk mengelak kebergantungan berterusan kepada bahan import.
“Dalam masa yang sama, bahan-bahan yang dikeluarkan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp.) juga mesti lebih murah daripada bahan import. Begitu juga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kita beli barang tempatan dan hasilkan barangan yang boleh ganti barangan import.
“Golongan PMKS memerlukan perhatian khusus kerajaan kerana mereka merupakan punca perkembangan pelaburan domestik bagi negara. Mereka juga paling teruk terjejas disebabkan pandemik berbanding syarikat multinasional yang boleh bergerak dengan kos pekerja yang lebih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menganjurkan beberapa siri sesi libat urus di seluruh negara.

Beliau bertemu dengan kumpulan belia, ahli akademik, NGO, persatuan perniagaan, dewan perniagaan.
“Dalam perbincangan ini, salah satu maklum balas utama yang menyentuh saya ialah kesan
pelaksanaan sistematik Pelan Pemulihan Nasional dan program vaksinasi kita. Perniagaan asing
dan domestik, memuji rancangan kita yang telus dan teratur, serta kepantasan program vaksinasi kita
yang membolehkan perniagaan dibuka semula dengan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, Malaysia ketika ini mengalami defisit dalam perdagangan makanan kerana jumlah import lebih tinggi berbanding eksport.

Katanya, secara keseluruhan, negara mengimport lebih RM55 bilion makanan dari negara luar berbanding hanya RM39 bilion makanan negara yang dieksport.
“Sebenarnya Malaysia kini mengalami defisit dalam perdagangan makanan. Kita mengimport lebih RM55 bilion tetapi jumlah eksport hanya RM39 bilion. Jadi kita ada defisit.
“Sebelum ini kita menggalakkan eksport, kita ambil contoh ayam.
Selepas ternakan itu menjadi satu keperluan penting, jadi kita telah membuat peraturan untuk tidak
membenarkan eksport,” katanya.
Menurut Barjoyai, selepas dari tempoh itu, aktiviti pengimportan boleh menyebabkan penyusutan
nilai ringgit yang akhirnya akan menyebabkan berlakunya peningkatan semula harga barang.
Sementara itu, pemilik Restoran Nasi Kukus Mek Inun, Arif Alfian Abd. Aziz, 29, berkata,
para peniaga ketika ini amat mengharapkan sokongan daripada kerajaan untuk bangkit selepas
pandemik Covid-19.
Katanya, sekiranya ada lanjutan dan moratorium khas untuk golongan peniaga itu juga adalah
satu berita gembira dan diyakini dapat membantu meringankan beban untuk menangguhkan
bayaran ansuran bulan termasuk pinjaman sebelum ini.
“Macam saya berniaga nasi kukus dan bahan utama ialah ayam, ketika ini harga ayam melambung
naik. Modal untuk berniaga ketika ini juga agak tinggi tidak seperti dahulu kerana boleh dikatakan
semua barang naik harga.
“Jika ada bantuan daripada kerajaan untuk sektor PMKS ini, saya memang sambut baik dan
dalam masa yang sama kena pastikan juga bantuan itu betulbetul sampai dan bukannya sekadar diumumkan namun, untuk mendapatkannya perlu pelbagai prosedur merumitkan.
“Sekarang prestasi jualan juga sedikit menurun namun, Alhamdulillah saya masih mampu untuk keluarkan modal untuk buat pusingan,” katanya yang sudah lima tahun berniaga di Semenyih selain
turut memiliki empat orang pekerja.
Selain itu, Pengasas Bell Popcorn, Firzah Puasa berkata, kebanyakan peniaga selepas PKP agak sukar untuk kembali bangkit akibat mengalami kerugian yang besar ketika tempoh itu ekoran
kekangan untuk beroperasi selain kekurangan pelanggan.

“Semasa PKP perniagaan kami lebih tertumpu kepada jualan dalam talian. Alhamdulillah, inisiatif
ini dapat membantu kami untuk kekal ‘hidup’ ketika itu walaupun ramai rakan-rakan peniaga lain
yang berdepan masalah untuk meneruskan perniagaan.
“Namun, jualan semasa PKP selepas PKP adalah agak berbeza, ia lebih stagnant dan nak naik
tu agak mencabar, dengan kos bekalan mentah yang ada peningkatan dan menyebabkan
kami terpaksa naikkan harga jualan bagi menampung kos operasi,” katanya.
Ditanya tentang inisiatif MPN, Firzah berkata, usaha dan cadangan MPN agar moratorium khas diberikan kepada PMKS adalah sangat baik kepada kerana ia dapat membantu usahan menghadapi cabaran serta kos operasi yang meningkat.
“Besar harapan kami semoga kerajaan selepas ini tidak mengabaikan usahawan untuk mengembangkan pasaran. Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu disarankan agar memberikan panduan agar usahawan muda untuk terus maju dan berkembang.
“Apa yang penting ialah kerajaan dapat membantu dalam memulihkan ekonomi negara, bagi meningkatkan permintaan dan meningkatkan kuasa membeli kepada masyarakat. Ekoran kos
sara hidup yang tinggi, rakyat kita ketika ini berkira-kira untuk berbelanja,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin
M Saaid berkata, hotel-hotel di Malaysia ketika ini berdepan krisis kekurangan pekerja yang serius
dan perkara itu perlu dilihat secara mendalam oleh kerajaan.
“Keutamaan kita ada pekerja tempatan namun, ketika ini ramai pekerja tempatan yang tidak mahu
kembali bekerja selepas khidmat mereka ditamatkan sewaktu pelaksanaan PKP dahulu. Ramai
dalam kalangan mereka sudah bekerja sendiri dan selesa sekarang,” katanya. –UTUSAN