JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Johor Bahru ‘menagih’ populariti Abah, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mohd. Mohtah Yacob berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana masyarakat termasuk penduduk di bandar raya ini masih terkesan dengan kepemimpinan yang ditunjukkan Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Menurutnya, populariti Muhyiddin dalam kalangan rakyat akan menjadi faktor utama pengundi bukan sahaja di Johor Bahru, malah, di seluruh negara untuk menyokong PN.
“Insya-Allah, saya rasa pengaruh Abah masih kuat, dia berjaya mentadbir negara ketika susah dan membantu rakyat serta negara berdepan pandemik Covid-19 sehingga Malaysia menjadi antara 10 negara dunia terbaik mengawal wabak itu.
“Jadi, saya percaya rakyat perlu beri dia (Muhyiddin) dan PN peluang sekali lagi untuk mentadbir ketika negara sudah kembali pulih kerana dia banyak membantu rakyat ketika waktu sukar dahulu,” katanya selepas ditemui ketika berkempen di sebuah pasar malam di Jalan Gagah, Larkin, di sini.
Walaupun orang baharu dalam dunia politik, dia percaya mampu membawa perubahan positif terhadap pembangunan kawasan Parlimen Johor Bahru sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
“Saya sedar, di Parlimen Johor Bahru ini saya akan menentang beberapa nama besar, antaranya calon Barisan Nasional (BN) dan calon Pakatan Harapan (PH), tetapi saya tidak melihat itu sebagai masalah.
“Saya percaya semua calon akan bertanding secara sihat, dan apa yang lebih penting adalah misi kita dalam membangunkan Parlimen ini. Saya mahu beri tumpuan terhadap pendidikan, ekonomi dan ukhwah sesama ahli masyarakat,” katanya.
Mohd. Mohtah turut berdepan cabaran daripada seorang lagi calon yang bertanding di kerusi Parlimen Johor Bahru dalam PRU15, iaitu calon daripada Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd. Akhiri Mahmood. –UTUSAN