KUALA NERUS: Calon Barisan Nasional (BN) Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali selesai mengundi di pusat undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir di sini, hari ini.
Beliau yang ditemani isteri, Datin Alini Ramli dan ahli keluarganya tiba di pusat undi itu pada pukul 9.55 pagi.
Calon BN tersebut yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman sempat beramah mesra dengan pengundi kira-kira setengah jam.
Mohd. Khairuddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus selesai mengundi pada pukul 10.30 pagi.
Bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkenaan berpuas hati dengan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dilihat berjalan dengan lancar.
“Nampak ramai pengundi datang awal mungkin bimbang hujan pada sebelah petang. Ini satu petunjuk baik, kesungguhan rakyat untuk mengundi pada kali ini,” katanya.
Pada PRU15, Mohd. Khairuddin dicabar tiga calon lain iaitu Datuk Dr. Alias Razak (Perikatan Nasional), Datuk Seri Suhaimi Hashim (Pakatan Harapan) dan Azaha Wahid (Gerakan Tanah Air-Parti Pejuang Tanah Air). – UTUSAN