TAMPIN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa mahu meneruskan semula pembangunan yang dibawa parti itu di parlimen tersebut yang terhenti semasa perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Mohd. Isam berkata, banyak pembangunan di parlimen berkenaan yang sebelumnya sudah diluluskan, namun tidak dapat diteruskan seperti pembinaan masjid di Gemas dan juga projek perumahan rakyat (PPR) di Air Kuning, Gemencheh.
Menurutnya, sekiranya beliau diberikan mandat untuk menjadi ahli Parlimen Tampin, fokus juga akan diberikan kepada pembangunan sekolah tahfiz serta kecemerlangan sekolah sukan kriket di Felda Bukit Rokan.
“Kami juga berhasrat untuk memastikan sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan juga institut pengajian tinggi (IPT) dapat dibuka di sini tidak kira sama ada di DUN Repah, Gemencheh mahupun Gemas bagi melonjakkan ekonomi serta pendidikan masyarakat setempat.
“Selain itu, soal kebajikan serta infrastruktur adalah selaras dengan manifesto BN di peringkat pusat dan kami sememangnya sudah memperjuangkan perkara berkenaan sejak dari dahulu lagi,” katanya kepada pemberita sewaktu berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sini.
Dalam pada itu, Mohd. Isam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, berkata, beliau melihat, momentum sokongan kepada BN semakin baik dan yakin, Parlimen Tampin yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) akan dapat dirampas kembali oleh BN pada PRU15 ini.
“Saya lahir di sini, semua sudah biasa bertemu saya dan saya sendiri berkeyakinan penuh untuk menakluk semula Tampin ini. Cuma saya dan jentera tidak akan alpa dan akan meneruskan gerak kerja menarik pengundi, tugas ini bukan mudah sebab dahulu kalah, kali ini kami mahu rampas kembali,” katanya.-UTUSAN.