REMBAU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberikan perhatian berkenaan proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini yang didakwanya beliau berjalan agak perlahan.
Beliau yang juga calon BN di Parlimen Rembau berkata, hasil pemerhatiannya di pusat mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, proses berjalan perlahan dan ada pengundi yang masih berdiri dan beratur selama satu jam namun masih belum dapat mengundi.
“Apa yang berlaku di IPD Rembau ini, memang apa yang berlaku agaknya di seluruh negara prosesnya terlampau perlahan, itu sebab saya minta pegawai pengurus pilihan raya untuk lihat semua proses.
“Pengundi gelisah, satu jam berdiri menunggu giliran untuk masuk. Jangan tunggu satu orang keluar, baru masuk seorang lagi, jika tidak pengundi marah, mereka balik dan susah juga kita,” katanya ketika ditemui media ketika meninjau proses pengundian awal di IPD Rembau hari ini.
Daripada seramai 133,555 orang jumlah keseluruhan pengundi Parlimen Rembau bagi PRU15 ini, seramai 2,217 orang merupakan pengundi awal.
Selain di IPD Rembau, antara pusat pengundian awal yang turut dibuka di Rembau adalah di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara Sendayan dan Dewan Kompeni Kem 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Senawang.-UTUSAN.