DOHA: Australia berpeluang mengikut jejak Perancis meloloskan diri ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 apabila menghuni kedudukan kedua dalam Kumpulan D.
Skuad bimbingan Graham Arnold hanya perlu melakar kemenangan ke atas pasukan di tangga ke-10 dunia, Denmark seandainya mahu ke pusingan seterusnya sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2006 di Jerman.
Australia masih berpeluang untuk layak jika mereka mencatatkan keputusan seri, bagaimanapun ia akan tertakluk kepada satu lagi pertemuan dalam peringkat kumpulan antara Perancis dan Tunisia.
Perancis yang sudah pun layak ke pusingan seterusnya perlu mengekalkan rekod kemenangan mereka dalam kumpulan untuk membenam Tunisia, bagaimanapun pengurus Les Bleus, Didier Deschamps mungkin akan menurunkan barisan kedua bagi mengelakkan pemain utamanya mengalami kecederaan dan mendapat rehat yang lebih.
Bagaimanapun mengharapkan bantuan Perancis dilihat berisiko, justeru pertahanan Australia, Kyle Roos menggesa rakan sepasukannya mengekalkan strategi sama menentang Denmark, tatkala lawan lebih sibuk dengan isu luar padang membabitkan pemakaian lilitan pelangi One Love yang dilarang oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Saya tidak rasa sesiapa pun dalam kalangan kami, termasuk pengurus akan menempuhi permainan esok dan hanya fikir untuk meraih satu mata sahaja.
“Kami akan bermain seperti mana kami beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini dan cuba untuk mendapatkan tiga mata. Di peringkat sebegini, anda tidak boleh harapkan orang lain untuk melakukan tugas ini. Anda pelu keluar dan menang, dan dalam masa yang sama, kami sedar ia bakal menjadi pertarungan yang sengit yang kami bakal lalui,” jelas Roos. – Agensi/UTUSAN