IPOH: MIC akan bertanding di baki tiga lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang belum diumumkan pagi tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Pengerusi BN Perak, tiga DUN tersebut membabitkan DUN Sungkai, Buntong dan Aulong.
“Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango, 57, dinamakan sebagai calon bagi DUN Sungkai dan akan berhadapan dengan calon daripada DAP, A. Sivanesan.
“Bagi DUN Buntong, MIC menamakan Ketua MIC Ipoh Barat, M. S. Jayagopi, 66, manakala DUN Aulong akan ditandingi Setiausaha MIC Perak, G. Shanmugiavalloo, 53,” katanya.
Kenyataan itu juga menyebut, bagi DUN Jelapang, Hamidah Muhamad, yang merupakan calon daripada Parti Makkal Sakti akan bertanding menentang calon DAP, Cheah Pou Hian.
Hamidah, 46, merupakan Ketua Wanita Makkal Sakti Perak dan Ketua Bahagian Makkal Sakti Taiping.
Semalam, pucuk pimpinan BN memperuntukkan 10 kerusi Parlimen kepada MIC untuk bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.
Di Perak, tiga calon MIC dipertaruhkan iaitu Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran di Parlimen Sungai Siput, Datuk Seri M. Saravanan mewakili kerusi Tapah dan Datuk T. Murugiah di Teluk Intan. – UTUSAN