KLANG: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan parti komponen, MIC berjiwa besar apabila sanggup melepaskan kerusi tradisi mereka iaitu di Parlimen Kapar dan Sungai Buloh kepada calon-calon UMNO.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kapar, Muhammad Noor Azman manakala Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.
Menurut Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, selama ini, kedua-dua kerusi berkenaan adalah kuota MIC dan ia dianggap kerusi tradisi.
“Dalam usaha untuk melakukan perubahan dari segi calon muda, saya turut memujuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang sebelum ini hendak bertanding di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, tetapi dipindahkan ke Kuala Selangor.
“Namun, secara kebetulan untuk Khairy dan Muhammad, kerusi UMNO tiada. Kapar milik MIC, Sungai Buloh pun MIC …sudah jadi satu cerita bagaimana saya hendak pujuk dan ‘deal’ dengan Tan Sri S.A Vigneswaran (Presiden MIC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara PRU BN Parlimen Kapar di Lorong Selamat, Sungai Udang malam tadi.
Noh berkata, selepas berbincang dari hati ke hati selama tiga jam bersama Presiden MIC yang juga calon BN Parlimen Sungai Siput tersebut, maka, pemilihan kedua-dua tokoh muda UMNO bertanding di kerusi tradisi MIC itu menjadi kenyataan.
“Sehubungan itu, saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan kepimpinan MIC di Kapar dan Sungai Buloh yang berjiwa besar memberi laluan kepada Muhammad dan Khairy,” katanya.
Mengulas lanjut, Noh berkata, pemilihan Muhammad turut disumbang oleh jiwa besar Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Mohd. Roslee Abd. Hamid yang memberi laluan kepada Muhammad.
Beliau menambah, jiwa besar kesemua pemimpin BN Selangor memberi laluan kepada pemimpin muda menjadi faktor pemangkin kejayaan parti tersebut bukan sahaja untuk mendapat 10 kerusi parlimen malahan lebih dari itu. –UTUSAN