DOHA: Penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa tidak sabar berdepan penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi dalam pertemuan Kumpulan C esok.
Ochoa yang beraksi cemerlang ketika menafikan sepakan penalti penyerang Poland, Robert Lewandowski dalam pertemuan sebelum ini berkata, beliau sedia menyahut cabaran berdepan pemenang anugerah tujuh Ballon d’ Or itu
Menurutnya, kejutan oleh Arab Saudi semasa menentang juara Copa Amerika itu memberi gambaran Mexico mempunyai peluang luas untuk mara jika mampu meraih satu mata dalam perlawanan esok.
“Kami (Mexico) sudah bersedia untuk berentap. Messi ada magisnya tersendiri, beliau boleh duduk diam dan dalam satu minit dia boleh mengatur langkah menyerang serta menjaringkan gol.
“Perlawanan itu akan menjadi sukar tetapi apa yang lebih baik di Piala Dunia daripada bermain menentang salah seorang pemain terbaik dalam dunia dan sejarah, Messi, jika bukan terbaik,” katanya.
Terdahulu, Argentina dimalukan oleh Arab Saudi 1-2 dan perkara itu memberi kejutan buat seluruh peminat kejohanan dunia tersebut kerana pasukan yang diketuai Messi itu adalah salah satu pasukan terbaik sebelum ini.
Mengulas lanjut, Ochoa berkata, Piala Dunia adalah pentas yang ideal untuk menilai dirinya sendiri semasa menentang pemain-pemain terbaik dunia.
“Saya tidak berminat sekiranya ada perasaan enggan bermain sesuatu pasukan hanya kerana sukar dan sebagainya tetapi apa saya mahukan adalah bermain menentang mereka di pentas dunia. Saya mahu perlawanan yang baik dan mahu kalahkan mereka,” katanya.
Mexico akan berhadapan Arab Saudi yang kini sedang duduk di atas Kumpulan C minggu depan. – Agensi/UTUSAN