KLUANG: Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik terpaksa bersabar apabila dihalau seorang warga emas ketika berkempen, hari ini.
Video berdurasi 1 minit 29 saat mengenai kejadian tersebut tular yang memaparkan bekas Menteri Pendidikan tiba di sebuah dewan dalam kawasan Simpang Renggam.
Dalam video berkenaan, lelaki berkenaan ‘naik angin’ ketika Dr. Maszlee sampai di pintu pagar dewan berkenaan sebelum menjerit ke arah calon PH tersebut dengan nada keras menyuruhnya pulang.
Bagaimanapun, dua anggota polis mengawal dan menenangkan warga emas tersebut sebelum dibawa ke tepi jalan di dewan itu.
Selepas lelaki itu ditenangkan datang seorang lagi warga emas juga tidak membenarkan Dr. Maszlee berkempen di situ dan memintanya pulang.
“Kita ikut undang-undang, malam tadi sudah cakap, politik tidak dibenarkan datang (berkempen di dewan itu),” kata warga emas tersebut sebelum Dr. Maszlee mencelah dan memberitahu banyak yang sudah dilakukan di Simpang Renggam.
Beliau sudah hampir lima tahun berkhidmat di parlimen itu dan mendakwa antara yang telah diselesaikan masalah air serta sampah selain membawa restoran makanan segera McDonald di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, warga emas tersebut tidak mahu mendengar penerangan dan menyuruh penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam itu pulang sebelum Maszlee mendakwa layanan diberikan lelaki itu sebagai ‘perangai UMNO’.
Dr. Maszlee kemudian mendakwa rakyat mengenalinya dan sentiasa bersama-sama rakyat sama ada susah atau senang. Kejadian tersebut dipercayai dirakamkan jentera kempen PH sebelum tular dalam media sosial.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Simpang Renggam dimenangi Dr. Maszlee dengan majoriti 3,475 undi.
Pada PRU15, Dr. Maszlee ditentang Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, Mohd Fazrul Kamat (Perikatan Nasional) serta Kamal Kusmin (Gabungan Tanah Air).- UTUSAN