BERA: Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini realistik dan bukan janji melampau untuk membeli undi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, BN berpijak di bumi nyata dan apa dibentangkan dalam manifesto dan Bajet 2023 boleh dan sedia untuk dilaksanakan.
Beliau berkata, apa dijanjikan parti tersebut suatu yang boleh dilaksanakan bukan janji bulan dan bintang seperti pembangkang.
“Sebagai contoh menghapuskan kemiskinan mutlak melalui skim bantuan pendapatan asas yang dikreditkan automatik setiap bulan kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM2,208.
“Kita melalui bantuan Keluarga Malaysia kepada mereka mempunyai anak lima, bantuan terus tunai RM2500, ini melebihi garis kemiskinan. Apa yang kita buat sudah pun dimasukkan dalam Bajet 2023.
“Sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma kepada semua kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, sistem persekolahan tanpa buku teks serahan komputer riba percuma, kita sudah pun melaksanakan Peranti Siswa.
“Apa yang kita bentang dalam manifesto BN kita bersandarkan kepada Bajet 2023 dan ada cadangan baru dalam manifesto kita. Ia (Bajet 2023) akan ditambah baik apabila kita bentangkan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Kenduri Kampung Bersama Penduduk Kampung Bohor Baru di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Bohor Baru di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan manifesto parti itu yang ‘menghidangkan’ lebih 10 teras dan aku janji untuk rakyat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan menawarkan lebih 90 tawaran untuk dinikmati pelbagai lapisan masyarakat daripada kumpulan minoriti sehingga yang majoriti.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, jika dilihat dalam manifesto BN yang diumumkan Ahmad Zahid semalam, sebahagian besarnya sudah diumumkan dalam Bajet 2023.
“Sebab itu saya kata bajet itu akan bentang semula dalam Parlimen dan kalau BN menang kita akan bentang semula seperti dalam manifesto BN,” katanya.-UTUSAN