KLANG: Barisan Nasional (BN) Kapar akan memperkenalkan manifestonya tersendiri sebagai salah satu langkah untuk membantu penduduk di kawasan Parlimen itu.
Calon BN, Muhammad Noor Azman berkata, manifesto tersebut direncanakan berdasarkan pemerhatiannya di kawasan tersebut lebih tiga tahun kebelakangan ini.
“Manifesto tersebut akan berteraskan empat tunjang iaitu isu anak muda, pembangunan infrastruktur, pemantapan pendidikan dan perkhidmatan.
“Saya tidak dapat mendedahkan butiran terperinci manifesto tersebut sehingga ia diumumkan esok (Selasa),” katanya ketika kempen pengundian di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.
Muhammad berkata, beliau mendapat reaksi positif daripada penduduk di kawasan Parlimen yang ditandinginya ketika ini sepanjang tiga hari beliau menjalankan kempennya.
Malah, katanya, ada beberapa penduduk yang ditemuinya menyatakan kesediaan mereka untuk mengundinya pada hari pengundian, 19 November ini.
“Penduduk ini beritahu saya bahawa mereka mahukan wakil rakyat yang masih muda yang mampu menjalankan tugas di Parlimen Kapar.
“Sekiranya dipilih menjadi ahli Parlimen Kapar, saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan lebih 100 peratus,” katanya. –UTUSAN