KOTA TINGGI: Barisan Nasional (BN) Parlimen Tenggara hanya mahukan penyandang, Datuk Seri Dr. Adham Baba sebagai calon di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengarah BN Tenggara, Nasaruddin Ahmad berkata, BN Tenggara hanya menyokong seorang calon untuk diletakkan bagi kerusi berkenaan, iaitu Ketua Bahagian UMNO Tenggara itu.
Katanya, sekiranya diimbau kembali Adham adalah antara lapan ahli Parlimen BN yang menang walaupun tsunami politik berlaku pada tahun 2018 dan kemenangan beliau dengan majoriti besar itu adalah disebabkan khidmat bakti beliau terhadap rakyat.
“Datuk Dr. Adham adalah calon WALI (winnability boleh menang, acceptibility, kebolehterimaan dan likeability, disenangi) kami, dan beliau sudah buktikan selama jadi ahli Parlimen di sini dan kemudian dilantik sebagai Menteri, beliau menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Kami sebulat suara bawa satu nama sahaja di Parlimen Tenggara. Kami harapkan pihak atasan BN lihat perkara ini. Inilah suara kami bukan atas dasar melobi tetapi sudah dibuktikan bahawa Datuk Dr. Adham layak menjadi pemimpin dan layak dicalonkan.
“Saya juga amat risau sekiranya beliau tidak tercalon akan gugat kemenangan BN di Parlimen Tenggara kerana di Tenggara rata-rata kenal beliau sebagai wakil rakyat yang prihatin dengan semua bangsa, memberi bantuan tanpa membezakan warna kulit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ia sebagai solidariti bersama Dr. Adham di Pejabat UMNO Bahagian Tenggara, di sini yang turut dihadiri ketua parti komponen, kesemua 26 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan 45 Ketua Cawangan UMNO Bahagian Tenggara.
Nasaruddin berharap kepimpinan tertinggi BN, UMNO memandang serius untuk meletakkan Dr. Adham selaku calon Parlimen itu pada PRU15.
“Bagi kami tidak ada calon lebih layak, lebih baik untuk persembahan melainkan Datuk Dr. Adham. Selaku Timbalan Pengarah BN Tenggara membawa harapan ini, suara kami ini didengari pihak BN dan UMNO. – UTUSAN