PORT DICKSON: Kerusi Parlimen Port Dickson yang menjadi antara ‘kerusi panas’ di Negeri Sembilan menyaksikan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH) akan disaingi oleh calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.Kalamananthan, calon Pejuang, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Turut memberikan saingan dalam pertembungan lima penjuru itu ialah calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan. Rafiei Mustapha dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah.
Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Bagi Pilihan Raya Parlimen Port Dickson, Khairy Maamor di Pusat Penamaan Calon, Kompleks Pentadbiran Port Dickaon pada pukul 10.40 pagi tadi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, PH memenangi kerusi tersebut menerusi Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang memenangi dengan majoriti 17,710 undi dengan menewaskan calon BN dan Pas.
Beliau bagaimanapun mengosongkan kerusi bagi membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018 dalam usaha membawa Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRK berkenaan, Anwar memenanginya dengan majoriti 23,560 undi dalam pertembungan dengan enam calon lain, tidak termasuk BN yang tidak meletakkan calon pada waktu itu.
Anwar bagaimanapun mengumumkan tidak mempertahankan kerusi berkenaan sebaliknya akan bertanding di Parlimen Tambun di Perak.-UTUSAN.