Lelaki cedera, tayar lori hentam kereta

Lelaki cedera, tayar lori hentam kereta

KEADAAN kereta rosak teruk akibat dihentam tayar lori di Lebuhraya Elite, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang lelaki berdepan saat cemas apabila kereta dipandunya tiba-tiba dihentam sebiji tayar lori di Lebuhraya Elite, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 2 petang di Kilometer 27.2 Lebuhraya Elite menghala ke arah utara itu, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Aruz itu turut cedera di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku apabila tayar sebuah lori dipandu seorang lelaki tiba-tiba tercabut lalu menghentam kereta mangsa.

Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori mendakwa tayar sebelah kiri tercabut sebelum dia memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.

“Pemandu kereta yang cedera dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang petang tadi.

“Siasatan mendapati, lokasi kejadian mempunyai tiga lorong jalan dan satu lorong kecemasan, manakala cuaca pula baik dan cerah selain permukaan jalan rata dan kering,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya mengambil keterangan pemandu lori berkenaan dan lori itu turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya