Lebuhraya Seremban-Jempol boleh kembali dilaksanakan - Utusan Malaysia

Lebuhraya Seremban-Jempol boleh kembali dilaksanakan

MOHAMAD Hasan ketika hadir pada Majlis Bersama Tok Mat di Dewan Belia Felda Raja Alias 2, Bandar Seri Jempol, Jempol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Projek Lebuhraya Seremban-Jempol boleh untuk dilaksanakan semula sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, ia merupakan sebuah projek berdaya maju namun ia telah dibatalkan semasa kerajaan Persekutuan ditadbir Pakatan Harapan (PH).

“Semasa BN ketika saya menjadi Menteri Besar (Negeri Sembilan) ia merupakan projek yang telah mendapat persetujuan pada dasarnya oleh kerajaan Persekutuan. Kerajaan juga telah bersetuju untuk melantik konsultan bagi menilai dan melihat jajaran.

“Dahulu cadangannya untuk membesarkan Jalan Seremban-Kuala Pilah namun ia akan menyebabkan pengambilan tanah dan melibatkan banyak rumah. Saya tidak bersetuju maka saya mencadangkan untuk membuat jajaran baharu melibatkan tanah-tanah kerajaan dan pinggir hutan.

“Dari Lekas (Lebuhraya Kajang-Seremban) ia akan keluar di Bandar Baru Serting dan sehingga ke sempadan Pahang, memang telah diluluskan secara dasarnya oleh kerajaan Persekutuan hanya menunggu laporan penilaian jajaran yang mahu dibuat oleh konsultan, ia boleh dihidupkan semula,” katanya.

Mohamad berkata, jika projek lebuh raya tersebut berjaya direalisasikan, sudah pasti ia akan menjadi tumpuan pengguna untuk ke Pantai Timur dan sebaliknya.

“Saya ada berbincang dengan Menteri Kerja Raya (sebelum ini) mereka katakan, kalau kontraktor mahu buat secara konsesi, kerajaan tidak keluar belanja, lagipun memang dicadangkan supaya ia menjadi jalan bertol.

“Jalan di situ akan jadi tumpuan untuk ke Pantai Timur atau dari Pantai Timur ke sini terutamanya kenderaan komersial. Ia memang satu projek yang berdaya maju,” katanya.

Sebelum ini calon BN Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, sekiranya diberikan mandat oleh pengundi pada PRU15 ini, beliau akan memperjuangkan pembinaan Lebuh Raya Seremban-Jempol yang dilihat boleh memberi manfaat termasuk ekonomi kepada penduduk setempat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya