Korea Selatan goyah tanpa kapten

Korea Selatan goyah tanpa kapten

Son Heung Min (tengah) memakai topeng muka dalam latihan pasukan semalam ekoran mengalami kecederaan mata. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Korea Selatan menanti dengan penuh debar sama ada mereka dapat menggunakan khidmat kaptennya, Son Heung Min dalam aksi pembukaan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Uruguay malam ini.

Penyerang Tottenham Hotspur itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian mata kiri tiga minggu lalu dan dia dilihat menjalani latihan di Qatar dengan memakai topeng pelindung muka seakan watak ‘Zorro’.

Kehadiran Heung Min dalam kesebelasan utama sangat diperlukan di bahagian Korea Selatan kerana dalam Kumpulan H turut menampil dua lagi pasukan yang dianggap cukup kental iaitu Portugal dan Ghana.

Pengendali Korea Selatan, Paulo Bento sudah memberi arahan kepada pasukan bagi membincang keadaan Heung Min dalam persediaan Piala Dunia dan dalam masa sama berharap barisan pertahanan pasukan dapat menyekat serangan pasukan lawan.

“Kami harus memeriksa dan melakukan analisis hari demi hari, biarkan dia datang ke Piala Dunia. Kami mempunyai masa untuk melakukan keputusan yang tepat dan tindakan terbaik untuk keseluruhan pasukan kami,” katanya.

Sementara itu, Heung Min ketika mengulas mengenai kecederaannya berkata, dia sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan berprestij itu namun, tetap bimbang mengenai kecederaan yang lebih buruk.

“Saya lebih daripada bersedia untuk berdepan saingan itu, tunggu dan lihat bagaimana nanti,” katanya.

Pada edisi kali ini, Uruguay sekali lagi dilabelkan ‘kuda hitam’ kerana membina pasukan kombinasi pemain diketuai pemain yang berusia 35 tahun ke bawah serta bakat pemain muda yang teruja menyertai Piala Dunia pertama mereka.

Ia termasuk pemain yang mencipta rekod perpindahan di Liverpool, Darwin Nunez, yang dijangka bergandingan bersama pemain veteran Luis Suarez, juga pemain penting ketika kemaraan Uruguay pada aksi separuh akhir di Piala Dunia 2010.

Nunez yang berumur 23 tahun adalah 12 tahun lebih muda daripada Suarez dan rakan penyerang Edinson Cavani, yang beraksi untuk Piala Dunia keempat mereka begitu juga kapten dan pemain yang paling banyak kap penampilan bersama skuad kebangsaan itu, Diego Godin.

Antara 13 pemain yang melakukan penampilan sulung adalah pemain tengah serba boleh Real Madrid, Federico Valverde dan pemain Manchester United, Facundo Pellistri yang turut dikaitkan bakal bergandingan dengan pemain Tottenham yang berada di prestasi terbaik Rodrigo Bentancur di jentera tengah.

Jurulatih Uruguay, Diego Alonso berkata, jarak usia bagi pemain berpengalaman bukan masalah besar buatnya dan dia percaya Uruguay berpeluang memenangi Piala Dunia, sama seperti ketika mereka melakukannya pada 1930 dan 1950.

“Gandingan pemain muda dan berpengalaman akan buktikan di atas padang nanti, saya berharap para pemain adakan dapat hasil sesuatu dalam perlawanan pertama kami,” katanya.

Uruguay melakukan penampilan dalam 14 Piala Dunia dan Korea Selatan 11, tetapi kedua-dua pasukan tidak mempunyai rekod baik dalam perlawanan pembukaan mereka, ketika wakil Asia itu tewas atau seri dalam dua perlawanan terakhir Piala Dunia mereka.

Uruguay gagal untuk memenangi perlawanan pembukaan mereka dalam enam daripada tujuh penampilan mereka. – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya