KUALA TERENGGANU: Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dijangka bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus itu dikatakan akan menyertai UMNO dalam tempoh terdekat.
Pemilihan Khairuddin sebagai calon BN di Parlimen itu mengejutkan ahli dan pemimpin UMNO di Parlimen tersebut walaupun beliau sering berceramah atas pentas UMNO sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, dua nama disebut-sebut sebagai calon BN di Parlimen berkenaan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff.
BN dijadual mengumumkan calon yang akan bertanding dalam PRU15 di Kuala Lumpur pada malam ini.
Khairuddin dipilih sebagai calon diputuskan oleh pemimpin UMNO di peringkat Pusat memandangkan nama pemimpin Pas itu tidak pernah dicadangkan UMNO Bahagian Kuala Nerus dan Perhubungan UMNO Negeri.
Difahamkan pemilihan Khairuddin dapat menarik lebih ramai pengundi Pas di kawasan itu.
Ini kerana, bekas pemimpin Pas itu masih mempunyai pengaruh dalam kalangan ahli-ahli Pas walaupun mengumumkan berhenti menjadi ahli Pas pada Mac lalu.
Bagaimanpun difahamkan pemilihan Khairuddin itu menimbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO di Parlimen tersebut yang mahu pemimpin mereka dipilih sebagai calon.
Utusan Malaysia pada Ahad lalu melaporkan Khairuddin berkata, ahli dan penyokong Pas perlu mengundi BN pada PRU15 bagi mengelak kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang akan membawa mudarat lebih besar kepada negara.
Menurutnya, saranan tersebut adalah berasas kerana pada masa ini hanya BN yang mampu menyekat kemaraan PH dalam PRU15.
Pada PRU14, Khairuddin memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus selepas mendapat 37,974 undi mengetepikan calon BN, Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang memperoleh 29,527 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdullah Muhamad (4,604 undi). –UTUSAN