Kempen PRU15 kurang menyengat tanpa Najib -Nooryana Najwa

Kempen PRU15 kurang menyengat tanpa Najib -Nooryana Najwa

NOORYANA NAJWA NAJIB (duduk tengah) menyertai Nur Jazlan dalam 'walkabout' semasa berkempen di kawasan Kempas dalam Parlimen Pulai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketiadaan Datuk Seri Najib Tun Razak antara faktor utama perjalanan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini dilihat kurang menyengat berbanding PRU terdahulu, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

Anak beliau, Nooryana Najwa berkata, tiada yang dapat menafikan hakikat bahawa Najib mempunyai aura tersendiri, khususnya dalam menarik sokongan dan kehadiran rakyat.

Menurutnya, itu antara perkara yang dapat diperhatikan beliau ketika turun ke peringkat akar umbi bagi memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding.

“Apabila saya turun berkempen, saya lihat seolah-olah ada satu kekosongan apabila ayah tiada bersama, aura beliau tidak dapat dinafi seperti yang dirasa ketika PRN Johor lalu.

“Kehadiran beliau dalam satu-satu program boleh membantu menaikkan jumlah pengunjung. Jadi, dalam kempen PRU15 ini saya lihat, disebabkan ketiadaan beliau, perjalanan kempen terasa agak ‘sendu’ sedikit,” katanya selepas menyertai ‘walkabout’ calon BN Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed di Kempas, di sini hari ini.

Nooryana Najwa memilih untuk turut ‘berkempen’ membantu Nur Jazlan di Parlimen tersebut kerana bapanya turut berbuat demikian ketika PRN Johor, Mac lalu.

“Ayah ada datang ke sini berkempen dalam PRN Johor, jadi saya rasa adalah satu idea yang baik untuk saya juga turun ke sini dan memberi sokongan kepada Datuk Nur Jazlan, dia merupakan sahabat baik ayah saya.

“Mereka berdua pernah bekerja bersama sebelum ini dan saya yakin sahabat ayah adalah individu-individu yang berkongsi sikap yang sama, iaitu prihatin dan suka membantu rakyat berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Jadi, saya berharap pengundi khususnya di Parlimen Pulai ini akan memberikan sokongan dan mandat kepada beliau pada 19 November ini,” jelasnya.

Sementara itu, Nooryana Najwa turut memberitahu, bekas Perdana Menteri itu turut menyampaikan pesanan kepada rakyat Malaysia supaya memilih kerajaan yang mempunyai pengalaman baik dalam mentadbir negara.

“Ayah saya memang orang parti, memang itu yang sentiasa berada dalam fikiran beliau. Walaupun berada di dalam penjara, tetapi apabila berkomunikasi dengannya, perkara pertama yang disoal adalah bagaimana sokongan rakyat terhadap BN, pergerakan jentera dan akar umbi.

“Beliau amat ambil berat akan perkara-perkara ini dan berharap rakyat akan memilih yang terbaik untuk masa depan negara,” katanya.

Selain berkunjung ke Parlimen Pulai, Nooryana Najwa turut membantu kempen di beberapa Parlimen lain di negeri ini sempena PRU15, antaranya Ledang dan Pagoh. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya