GUA MUSANG: Dasar kerajaan negeri Kelantan yang tidak mahu menerima pembangunan lebih 30 tahun memerintah menyebabkan golongan muda terpaksa berhijrah mencari peluang pekerjaan di luar Kelantan.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, penghijrahan golongan muda disebabkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini tidak rancak.
“Di kawasan Gua Musang, kita berkali-kali mahu bawa perusahaan supaya menambahkan peluang-peluang pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan dan kemampuan orang muda.
“Tetapi, kerajaan negeri dilihat dingin dan tidak mahu menerima pelaburan itu. Jadi, muda-mudi kita terpaksa mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan mereka di luar sana,” katanya selepas merasmikan Jentera Barisan Nasional Bahagian Gua Musang sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini semalam.
Beliau yang lebih popular dengan panggilan Ku Li berkata, pelbagai usaha tetap dilakukan oleh BN bagi membangunkan dan mensejahterakan rakyat.
“Kita tengok bandar Gua Musang yang dibangunkan telah jauh berbeza berbanding dahulu. Suasana di sini lebih hidup daripada banyak bandar lain di Kelantan.
“Harapan saya, mereka akan ingat apa kemajuan yang telah dilakukan oleh kita untuk mereka sekarang. Kita berharap golongan muda dapat mengenang jasa yang BN di daerah ini,” ujarnya.- UTUSAN