RANTAU PANJANG: Empat sekeluarga dari Kampung Tersang di sini bersemangat untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun rumah mereka ditenggelami air seminggu lalu.
Marie Suriani Abdullah, 43, berkata, walaupun kali pertama berdepan dengan pengalaman itu namun ia bukan alasan untuk tidak keluar menjalankan tanggungjawab pada negara.
“Rumah saya tidak ditenggelami banjir kerana kedudukannya agak tinggi, bagaimanapun kami terpaksa menggunakan bot untuk keluar kerana jalan darat tidak boleh dilalui oleh kenderaan darat.
“Alhamdulillah, hari ini saya bersama suami yang alami strok (Rosmadi Che Wil, 49), ibu (Jah Che Wil, 70) dan anak Nur Shafika dapat keluar ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsan (SK) Gual Periok,” katanya.
Marie Suhaini berkata, dia sekeluarga kemudian menyambung perjalanan menaiki kereta sejauh 10 kilometer untuk sampai ke SK Gual Periok.
Sementara itu, Nur Shafika berkata, pengalaman pertama sebagai pengundi muda pada PRU15 membuatkan dirinya teruja.
“Rasa semangat untuk mengundi lagipun ini kali pertama, apapun saya akan buat pilihan yang bijak bagi memilih pemimpin yang mampu mengubah masa depan negara dan turut cakna hal belia.
“Harapan saya agar pihak pemimpin selepas ini terus membela nasib rakyat dan tidak meminggirkan masalah kami dalam ekonomi yang tidak menentu kini,” ujarnya.- UTUSAN