LANGKAWI: Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan, individu yang menjadi musuhnya tidak akan mendapat apa-apa jawatan dalam parti sekiranya beliau seorang yang pendendam.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sentiasa bersikap terbuka terhadap musuh politik sehingga turut melantik penentangnya menganggotai Kabinet ketika menjadi Presiden UMNO dahulu.
“Kalau saya dendam, orang yang menjadi musuh kepada saya takkan dapat tempat. Sebaliknya apabila Tengku Razaleigh (Hamzah) berlawan dengan saya, penyokongnya ialah Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).
“Dia walaupun penyokong Tengku Razaleigh (dan) Tengku Razaleigh kalah, saya terima masuk balik dalam parti dan dinaikkan pangkat semasa saya jadi Perdana Menteri sehingga dia dapat jadi perdana menteri.
“Kalau saya betul-betul cemburu ka apa ka, orang ini tak boleh naik dan tak dak dendam, perasaan dendam tak dak. Kalau dia sokong parti, saya sokong dia,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi, hari ini.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Dr. Mahathir menyimpan dendam terhadapnya sejak 26 tahun lalu.
Menurutnya, ia berpunca daripada kejayaan memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO menumpaskan tiga calon lain termasuk calon pilihan Dr. Mahathir iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik semasa pemilihan parti itu pada 1996.
Sementara itu, Dr. Mahathir menyokong tindakan memberikan cuti umum pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan rakyat untuk keluar mengundi.
“Baguslah, kalau boleh semua orang keluar (mengundi). Bagi cuti ini kos tinggi, saya harap semua orang dapat undi. Jadi, kalau semua orang dapat mengundi, memang baiklah,” ujarnya.
Menurutnya, dengan pemberian cuti tersebut, lebih ramai rakyat dapat keluar mengundi dan dapat meningkatkan peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini. –UTUSAN