Jurusolek gagal seludup vape berperisa Kanabis - Utusan Malaysia

Jurusolek gagal seludup vape berperisa Kanabis

VAPE mengandungi cecair Kanabis yang dirampas oleh JKDM susulan penahanan seorang wanita yang juga jurusolek yang mahu menuntut bungkusan kurier di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 10 November lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cubaan seorang jurusolek wanita untuk menyeludup masuk bungkusan kurier mengandungi ‘vape’ berperisa dadah Kanabis terbongkar selepas dia ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 10 November lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Sazali Mohammed berkata, wanita berusia 26 tahun itu ditahan pada pukul 1.40 petang ketika mahu menuntut bungkusan tersebut di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bungkusan kurier itu diikrarkan sebagai barangan solek tetapi mengandungi 50 unit rokok elektronik (vape), 50 unit cecair elektronik rokok elektronik berperisa Kanabis dan dadah jenis Kanabis seberat 870 gram dengan keseluruhan rampasan bernilai RM15,000.

“Dalam siasatan awal, suspek dipercayai telah menerima bayaran upah RM10,000 daripada sindiket untuk menuntut barangan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Jelas Sazali, modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan perkhidmatan kurier ke alamat tidak wujud kemudian menggunakan khidmat penghantar barang untuk menghantar bungkusan kepadanya.

“Vape cecair Kanabis ini memberikan kesan halusinasi sama seperti pengambilan Kanabis, ia tidak berbau seperti Kanabis dan popular dalam kalangan remaja. Setiap vape itu dijual pada harga RM300 sebatang manakala cecair vape itu berharga RM150 bagi 13 mililiter,” katanya.

Sazali berkata, vape yang mengandungi cecair Kanabis itu dijual secara dalam talian dan fizikal kepada pelanggan terutama golongan remaja.

Tambah Sazali, siasatan mendapati bekalan vape itu diperoleh daripada negara Amerika Syarikat dan suspek sudah beberapa kali membawa vape tersebut ke Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier syarikat tempatan.

“Suspek telah ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

SAZALI Mohammed (dua dari kiri) menunjukkan mangkuk besi tahan karat yang diubahsuai dan mengandungi paket berisi kristal jernih dadah jenis Methamphetamine ketika sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

 

Dalam pada itu, Sazali memberitahu, dalam dua lagi kes berasingan, JKDM berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis Methamphetamine melalui kargo udara dan syarikat penghantaran ekspres.

Sazali memberitahu, lebih kurang 1 petang, 8 November lalu, pihaknya telah menyita sebuah kotak mengandungi 400 mangkuk besi tahan karat di hab syarikat penghantaran ekspres di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Hasil pemeriksaan 400 mangkuk itu telah diubahsuai dan mengandungi paket lut sinar berisi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 6.3 kilogram dianggarkan bernilai RM230,000. Dagangan berkenaan diikrarkan sebagai besi tahan karat dan akan dieksport ke sebuah negara Asia,” katanya.

Mengulas lanjut Sazali berkata, satu lagi kes menjumpai sembilan paket teh herba Cina mengandungi dadah Methamphetamine seberat sembilan kilogram bernilai RM324,000 yang disorok dalam beg galas dalam serbuan pada pukul 6 petang 23 Oktober lalu di pintu pelepasan kargo udara KLIA.

Beliau berkata, barang dagangan itu diisytiharkan sebagai papar litar pencetak akan dieksport ke sebuah negara Kepulauan Pasifik.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya