KUALA SELANGOR: Perjalanan seorang jururawat ke tempat kerjanya iaitu di sebuah hospital swasta berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan persimpangan Pekan Lama Kuala Selangor, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu berlaku ketika wanita berusia 25 tahun
menuju ke hospital yang terletak di sekitar Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, ketika kejadian mangsa memandu Perodua Myvi bersendirian dari rumahnya di Sabak Bernam.
“Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori.
“Perlanggaran itu mengakibatkan mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan sembilan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati wanita itu tersepit di bahagian pemandu kereta tersebut.
“Mangsa kemudian dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. –UTUSAN