PETALING JAYA: Jumlah pengundi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melepasi jumlah keseluruhan pengundi pada PRU14.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, sebanyak 65 peratus keluar mengundi dicatatkan setakat pukul 3 petang, bersamaan dengan 13.7 juta daripada 21 juta pengundi berdaftar.
Jumlah itu melepasi 12.251 juta pengundi yang keluar mengundi pada PRU14, yang mencatatkan kira-kira 82 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar.
Ini meskipun kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya dan penangguhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman selepas calon Perikatan Nasional (PN), Md. Yunus Ramli meninggal dunia awal pagi tadi.
Semua pusat pengundian dijadual ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang, kecuali di Sabah dan Sarawak yang akan ditutup antara 11 pagi hingga 5.30 petang.- UTUSAN