REMBAU: “Hanya perlu tukar J sahaja di depan… JJ ganti KJ,”. Begitu seloroh calon Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di luar Pusat Penamaan Calon, Dewan Sri Rembau di sini pagi tadi.
Jufitri, bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, beliau tidak mahu memberi lebih tumpuan kepada calon-calon lawannya termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Rembau sebaliknya mahu memberi fokus kepada tawaran yang boleh diberikan kepada penghuni di situ.
“Sebab itu saya sebut, saya tidak memandang kepada lawan sebab kita sepatutnya berpolitik matang dan bergerak ke hadapan. Kita tawarkan nilai yang kita ada, nilai tidak sombong, nilai integriti, melawan rasuah, tata kelola yang baik berdasarkan prestasi kerajaan Negeri Sembilan.
“Kalau diberi peluang berterusan selama 22 bulan dan kemudian diberikan peluang dipimpin oleh orang yang sepatutnya mengetuai perubahan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membentuk kerajaan yang berkredibiliti,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Rembau dimenangi Khairy Jamaluddin dengan majoriti 4,364 undi.
Khairy menyandang tiga penggal di Parlimen Rembau sebelum memberi laluan kepada Mohamad untuk bertanding pada PRU15.
Seorang lagi calon Parlimen Rembau yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, PN akan memberi tumpuan khusus bagi memastikan Rembau menjadi salah satu kerusi Parlimen yang akan memberi sumbangan kemenangan kepada PN.
“Politik ini sebagai ruang untuk melakukan kebaikan, anak muda dan masyarakat hari ini begitu cenderung dan pro kepada kebenaran, soal ilmu dan juga tentang ekonomi serta peluang pekerjaan kepada mereka.
“Atas dasar itu, PN akan memberikan tumpuan yang khusus serta pembangunan kepada pimpinan muda,” katanya.- UTUSAN