MELAKA: Dua jiran dari Kampung Teluk, Bukit Katil di sini mengetepikan soal perbezaan ideologi politik apabila sama-sama keluar mengundi melaksanakan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Demang Hussin, semalam.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Zahari Hashim, 76, dan Teh See Neo, 68, menjadi antara individu terawal hadir ke pusat pengundian berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi.
Zahari yang berjalan menggunakan tongkat berkata, mereka berpakat pergi mengundi pada waktu sama, walaupun masing-masing menaiki kenderaan berlainan.
“Saya dan See Neo sejak beberapa hari lalu sudah berbincang untuk pergi mengundi bersama dan tidak sabar menanti tarikh 19 November. Anak saya hantar sebab kaki tak kuat macam dulu. Walaupun sakit, saya tetap mahu tunaikan tanggungjawab kerana penting untuk memilih kerajaan baharu yang lebih baik.
“Soal siapa saya undi itu tidak penting kerana undi adalah rahsia, selagi hayat ada, tanggungjawab tetap dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, See Neo berkata, dia tidak pernah mensia-siakan peluang mengundi setiap kali pilihan raya diadakan.
“Saya berasa gembira dan puas hati sebaik sahaja mengundi calon yang saya fikirkan terbaik untuk menjadi wakil rakyat di Hang Tuah Jaya.
“Saya dan Zahari sering berbual soal politik negara, tapi, kita sembang-sembang sahaja dan kami bersetuju untuk ke tempat mengundi pada waktu yang sama pada sebelah pagi,” katanya. –UTUSAN