KULAI: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kulai mendakwa bendera parti yang digantung jenteranya di kawasan Senai Utama, di sini ditanggalkan oleh individu yang mengaku sebagai penyokong parti lawan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA turut mendakwa, pihak lawan juga menabur fitnah bagi menjejaskan nama baiknya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Antara fitnah yang dilemparkan adalah beliau akan membayar kepada mana-mana individu untuk memakai pakaian BN dan membantu kempennya.
“Saya dimaklumkan ada pihak menaburkan fitnah dan berkata mana-mana individu yang memakai pakaian kempen BN Parlimen Kulai akan menerima bayaran sebanyak RM200.
“Malah, ketika jentera kami sedang memasang bendera BN di kawasan Senai Utama semalam, mereka bukan sahaja dihalang, malah bendera yang dipasang turut ditanggalkan.
“Kerana enggan terlibat dengan pertikaian tersebut, jentera kami berundur dari kawasan berkenaan dan membuat laporan polis berhubung gangguan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jian Boon yang kesal dengan perbuatan tersebut turut menyifatkan tindakan berkenaan sebagai strategi kempen tidak sihat yang tidak sepatutnya berlaku.
“Jika mahu berkempen, gunakan cara yang sihat dan bukan dengan kekasaran serta menabur fitnah demi memburukkan imej BN dan calon yang bertanding di Parlimen Kulai.
“Oleh itu, saya mohon masyarakat khususnya pengundi untuk memilih calon dan parti politik yang mampu membawa manfaat dan menyumbang terhadap pembangunan serta kesejahteraan rakyat dan bukan pihak yang berkempen secara fitnah,” katanya.
Dalam PRU15, Jian Boon menentang Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching yang mewakili Pakatan Harapan (PH) serta Datuk Tan Chin Hock daripada Perikatan Nasional (PN). –UTUSAN