DOHA: Keputusan berdepan Jepun pada aksi pembukaan Kumpulan E malam ini akan menjadi penanda aras kemaraan Jerman dalam kejohanan berkenaan.
Juara empat kali Piala Dunia itu tampil ke Qatar dengan membawa pasukan baharu sejak skuad 2018 menerima kejutan tersingkir di peringkat kumpulan di Russia.
Pengendali Jerman Hansi Flick tidak mahu mengambil risiko kehilangan mata apabila berdepan Jepun kerana lawan mereka selepas ini adalah Sepanyol.
Jelasnya, Jepun pasukan yang tidak mudah mengalah dan memiliki semangat juang yang tinggi maka para pemain tidak boleh mengambil mudah cabaran daripada pasukan Asia tersebut.
“Kita perlu bersedia menghadapi pertempuran yang sukar berdepan Jepun, selalunya negara yang tidak memiliki sejarah hebat akan memberi kesukaran.
“Jika anda (pemain) gagal menjaringkan gol bermakna anda mengambil risiko untuk membenarkan pihak lawan mendapat jaringan.
“Kita tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah dan perlu fokus sepanjang perlawanan serta menjaringkan gol untuk menang kerana perlawanan pertama sangat penting bagi menentukan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya,” ujar Flick.
Bekas pengendali Bayern Munich itu diharap mampu mengembalikan semula maruah skuad Die Mannschaft selepas dimalukan empat tahun lalu di kejohanan sama.
“Pengalaman empat tahun lalu satu pengajaran berguna kepada pasukan, kami mahu mengelak perkara sama berulang kali ini (tersingkir di peringkat kumpulan),” kata Pegawai pasukan, Oliver Bierhoff. – AGENSI