PETALING JAYA: Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad sedia mengubati kekecewaan penyokong musim lalu dengan menghadiahkan gelaran kejuaraan Piala Malaysia 2022, Sabtu ini.
Harimau Selatan kini dilihat berada dalam landasan terbaik untuk meraih kejuaraan ketiga JDT untuk musim ini selepas Liga Super dan Piala FA.
Bagaimanapun Shahrul tetap mengharapkan sokongan penyokong ke-12 untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam memburu kejayaan.
Tambahnya, dia dan pemain-pemain sedia mengubati kekecewaan penyokong di pentas akhir pada musim lalu malah berasakan JDT kini sedang berada momentum terbaik bagi menamatkan pemburuan kejuaraan sejak 2019.
“Memang rasa sangat bersyukur kerana dapat ke perlawanan akhir Piala Malaysia sekali lagi bersama JDT setelah mengalami kekecewaan pada musim lalu.
“Untuk final kali ini, harap kita akan buat yang terbaik demi memastikan kejuaraan mampu menjadi milik JDT.
“Kepada penyokong pasukan Johor, diharapkan boleh datang beramai-ramai semasa di perlawanan akhir kerana kami semua memerlukan sokongan anda.
“Kita akan cuba ubati kekecewaan mereka apabila kita tewas sebelum ini dan harapkan rezeki ada untuk JDT pada musim ini,” katanya.
Shahrul menjadi antara watak utama di bahagian pertahanan Harimau Selatan apabila kerap digandingkan bersama Feroz Baharudin atau Jordi Amat selepas kecederaan yang dialami Shane Lowry.
Sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini, hanya satu gol dilepaskan oleh JDT iaitu di peringkat separuh akhir kedua semasa berdepan Sabah di Stadium Sultan Ibrahim.
Sekiranya JDT berjaya menjulang trofi Piala Malaysia pada Sabtu ini, ia bakal menjadi gelaran kedua peribadi buat pemain berusia 29 tahun itu selepas pernah memenanginya bersama Perak, pada musim 2018. – UTUSAN