KOTA TINGGI: Pengundi diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis manifesto ditawarkan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mengukur segala kejayaan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut mempertikaikan perlaksanaan janji-janji yang ditawarkan parti itu ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang langsung tidak ditepati.
“Saya tak nak komen banyak manifesto itu aku janji, tetapi masa mereka sezaman dengan kerajaan 22 bulan lepas PRU14 sebahagian daripada mereka berada dalam kerajaan yang sama, tak ada tunai pula manifesto.
“Hendak janji semua orang boleh janji. BN dari merdeka sampai sekarang apa kita janji kita buat. Macam negeri Johor tujuh bulan kita perintah kerajaan negeri kita berjaya, kita janji kita buat.
“Pengundi jangan tertipu dengan janji manis. Kita ukur pembangunan yang dibawa, kejayaan yang diberi. Saya di Pengerang semua kejayaan adalah daripada kerajaan BN,” katanya ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Mas Timur di Felda Papan Timur, hari ini.
Malam tadi PN melancarkan manifesto ‘Tawaran PN BEST’ yang bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ yang menyediakan 30 pendekatan dan 234 tawaran.
Azalina yang juga calon BN Parlimen Pengerang turut mempertikaikan adakah semua yang berada dalam PN benar-benar bersih seperti tema manifesto mereka.
“Betul ke mereka semua bersih? Yang penting biar rakyat tentukan. Bagi saya BN ada track record. Mereka punya track rekod, saya tak nak cakap banyak, Batu Putih pun kami hilang kedaulatan tanya siapa yang bertanggungjawab.
“Harapan saya warga Pengerang dan rakyat Johor agar memahami bahawa di sini letakkan kerajaan yang boleh membawa kestabilan untuk bawa lebih banyak kemakmuran,“ katanya. – UTUSAN