DOHA: Pengurus Belanda, Louis Van Gaal tetap berpuas hati dengan kemenangan 2-0 pasukannya ke atas juara Afrika, Senegal walaupun dua gol hanya hadir pada enam minit terakhir perlawanan.
Pemain tengah, Cody Gakpo memecah kebuntuan enam minit sebelum tamat menewaskan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy selepas menerima hantaran Frenkie De Jong sebelum Davy Klaassen menambah satu lagi jaringan.
Van Gaal juga percaya, pasukannya ketika ini beraksi lebih baik berbanding skuad ’emas’ Belanda yang dikendalikannya lapan tahun lalu yang menduduki tempat ketiga ketika Brazil menjadi tuan rumah.
“Adakah ini satu kemenangan yang lengkap?. Sudah tentu, dengar cakap saya, kami bermain dengan penguasaan bola yang kurang berkesan separuh masa pertama tetapi, kami mencipta lima peluang.
“Namun, ia lebih seimbang pada separuh masa kedua. Kami mencipta peluang dan menjaringkan dua gol. Sejujurnya, saya sentiasa mempunyai perasaan bahawa kami akan menjaringkan gol. Jadi, ia wajar walaupun kami kurang penguasaan bola,” kata Van Gaal.
Mengulas lilitan ‘One Love’ yang dilarang FIFA, Van Gaal berkata, pasukannya tidak memakainya jika kaptennya, Virgil Van Dijk akan mendapat kad kuning kerana misi pasukannya adalah menjadi juara dunia namun, dia mempersoalkan kewajaran tindakan FIFA itu.
Dalam aksi pertama skuad Belanda dalam Piala Dunia Qatar 2022 itu, Van Gaal juga berdepan masalah kecergasan bintangnya, Memphis Depay yang mengalami kecederaan hamstring namun, tetap memberikan sumbangan selepas bermula di bangku simpanan.
Ketika perlawanan berbaki enam minit, Depay terlibat dalam tiga hantaran yang berakhir dengan De Jong sebelum Gakpo membuat larian ke hadapan pintu gol Senegal untuk melakukan tandukan menewaskan Mendy yang juga penjaga gol Chelsea.
Ketika permainan memasuki minit-minit terakhirnya, Depay terlibat dalam situasi satu lawan satu dengan Kalidou Koulibaly dan dia berjaya melepaskan rembatan namun, diselamatkan Mendy sebelum Klaassen memanfaatkan peluang terhidang untuk gol kedua Belanda.
Sementara itu, Jurulatih Senegal, Aliou Cisse berkata, ia merupakan perlawanan yang sukar buat pasukannya namun, permainan berlangsung seimbang sehingga Belanda mendapat dua gol lewat yang tidak disangka-sangka.
“Kami mempunyai rancangan yang pasti, untuk menekan mereka tetapi akhirnya kami penat. Kami kecewa tidak menjaringkan gol. Sudah tentu, kehilangan Sadio Mane adalah masalah tetapi pemain yang datang perlu melakukan apa yang diharapkan kepada mereka.
“Jika anda kalah dalam perlawanan pertama, perlawanan yang kedua akan menjadi seperti final,” katanya. – AGENSI (UTUSAN)