Ibu bapa main peranan kemenjadian anak-anak

Ibu bapa main peranan kemenjadian anak-anak

KEMENJADIAN anak-anak bermula dari rumah dan ibu bapa mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan asas ilmu penting tentang anak-anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemenjadian murid harus bermula di peringkat institusi keluarga dengan ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan asas ilmu penting tentang anak-anak bagi mendidik mereka dengan sempurna.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan, Azizurahman Samian berkata, kegagalan untuk mendalami kemahiran itu akan menimbulkan pelbagai masalah dalam mendidik anak.

Beliau berkata, pengetahuan tentang pelbagai perkara seperti sikap, psikologi, kemahuan, perasaan, punca penyakit, cara menangani perasaan, punca anak memberontak dan pendidikan perlu diketahui oleh ibu bapa.

“Sebagai contoh, apabila anak gagal dalam pelajaran, tidak tahu tentang minat anak dan ibu bapa cuba memaksa anak untuk meminati sesuatu bidang yang tidak diminati akan menyebabkan anak gagal dalam pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.

KEMAHIRAN

Menurut Azizurahman, terdapat empat kemahiran yang lazimnya digunakan oleh ibu untuk mendidik anak masing-masing iaitu berwibawa, mengabaikan, memanjakan dan kuku besi.

“Berwibawa ini menunjukkan ibu bapa tegas dan boleh mengawal keadaan, sentiasa mendengar pandangan anak, boleh bertolak ansur, anak dididik dengan suasana penuh kemesraan, anak-anak berkelakuan intelektual seiring umur dan sentiasa demokrasi dengan anak.

“Untuk sikap mengabaikan pula, ibu bapa cenderung untuk tidak mempedulikan di mana anak berada, aktiviti yang diminati, siapa kawan-kawannya, tidak tahu hal ehwal pelajarannya serta suasana persekitaran sosial anak, sibuk dengan kerja dan tidak mengambil berat emosi anak.

“Bagi ibu bapa yang memanjakan anak pula, mereka menurut segala keperluan dan kemahuan anak, tidak menetapkan batasan, mendengar kata anak selain anak membuat keputusan sendiri dan ibu bapa mengikut telunjuk anak.

“Bagi kaedah kuku besi pula, ibu bapa bertindak mengawal ketat anak, tidak boleh bertolak ansur dengan anak, menetapkan harapan yang tinggi kepada anak, menetapkan cita-cita anak, memaksa anak meninati apa yang ibu bapa inginkan, tidak mesra dan kurang berkomunikasi,” katanya.

Mengulas mengenai kaedah mana paling digunakan oleh ibu bapa, Azizurahman berkata, pendekatan berwibawa menjadi pilihan yang positif kerana ibu bapa yang berwibawa adalah yang peka terhadap perlakuan anak dan memberi galakan, rangsangan serta bimbingan melalui pendekatan disiplin yang asertif dan tidak kasar.

“Selain itu, kemahiran ini juga dapat memupuk ibu bapa untuk berinteraksi secara positif di samping menyemai emosi yang bersesuaian serta bertanggungjawab. Malahan, dapat membantu anak-anak mengawal diri dengan menetapkan batasan dan peraturan rumah,” katanya.

KOMUNIKASI

Selain itu katanya, komunikasi merupakan perkara penting yang menjadi pengikat hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak dan komunikasi yang berkesan juga akan mendatangkan hasil yang baik kepada kedua-dua belah pihak.

Namun katanya, jika sebaliknya mungkin jurang antara ibu dan anak-anak semakin renggang dan tidak mesra dan dalam mendidik anak-anak, ibu bapa harus peka terhadap perilaku dan respons anak-anak mereka kerana setiap anak berbeza sifat dan tindakan yang turut membentuk personaliti mereka.

“Kebolehan dan keupayaan berkomunikasi secara berkesan dapat membantu mempertingkatkan jati diri, mengukuhkan kepercayaan dalam hubungan, memperkuatkan semangat dan daya saing selain mengeratkan hubungan antara rakan-rakan.

“Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kepercayaan, penghormatan dan kekaguman orang lain terhadap individu tersebut. Amat penting juga bagi Ibu bapa mengenali personaliti anak mereka bagi memudahkan proses komunikasi,” katanya.

Sementara itu, kata Azizurahman, kemahiran mendengar perlu dipelajari oleh ibu bapa kerana sebanyak 60 peratus masalah dalam komunikasi adalah berpunca daripada kegagalan ‘mendengar’.

Katanya, aktiviti mendengar sering disalah erti dengan hear iaitu hanya perbuatan mendengar tanpa memahami dan merasai perasaan orang yang sedang bercakap sebaliknya, kaedah mendengar yang sebenar adalah listening, satu kemahiran yang perlu dipelajari.

FAHAMI minat, keperluan dan masalah anak dalam usaha membentuk mereka menjadi individu yang berjaya pada masa depan.

“Ia melibatkan proses memahami apa yang didengar dan dalam masa yang sama cuba merasai situasi penyampai tersebut. Terdapat beberapa peraturan mendengar yang efektif bagi memastikan komunikasi kedua-dua belah pihak berkesan.

“Untuk memberi kepuasan dan tidak timbul salah faham kedua-dua belah pihak, jika anak ingin menceritakan apa yang mereka rasa dan masa pula tidak mengizinkan, beritahu anak-anak bahawa perbincangan tersebut akan dilakukan kemudian.

“Dalam proses mendengar secara aktif, tujuan ibu bapa mendengar adalah benar-benar untuk berhajat membantu anak mengatasi masalah. Selain itu, mereka sentiasa bersedia untuk menerima pendapat anak walaupun besar kemungkinan pandangan anak adalah berbeza,” katanya.

KELAKUAN

Sementara itu, seorang lagi ​Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan, Rosli Suyot berkata, antara kaedah bagi mengatasi masalah anak enggan ke sekolah ialah dengan memahami maksud kelakuan anak-anak.

“Terdapat empat sebab utama kenapa anak tidak mahu ke sekolah iaitu untuk mengelakkan emosi tertentu (anxiety, takut, risau), mengelakkan situasi tertentu (peperiksaan), ingin mendapatkan perhatian selain mahu melakukan aktiviti tertentu (menonton TV atau bermain permainan video).

“Jadi, ibu bapa perlu cuba dapatkan pola corak kelakuan tidak mahu ke sekolah. Ada hari-hari tertentu, atau masa-masa tertentu? Adakah subjek pelajaran atau seseorang yang anak cuba hindari?,” katanya.

Rosli berkata, ibu bapa juga perlu berjumpa dan berbincang dengan guru dan guru kaunselor di sekolah dan sekiranya masalah utama adalah buli, berbincanglah bersama dengan pihak sekolah bagaimana untuk menangani kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya