DOHA: Argentina bakal mengharungi perlawanan hidup mati menentang Poland hari ini bagi meraih tiket ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia dengan peluang masih lagi terbuka buat kesemua empat pasukan dalam Kumpulan C.
Kali terakhir skuad La Albiceleste gagal untuk meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya adalah ketika edisi Piala Dunia 2002 Korea Selatan/Jepun yang menyaksikan Argentina tersingkir di peringkat kumpulan biarpun dibarisi barisan pemain bintang.
Poland kini menerajui kumpulan dengan empat mata, diikuti Argentina dan Arab Saudi yang berkongsi tiga mata, namun dipisahkan dengan jumlah jaringan, manakala Mexico berada di tangga tercorot meraih satu mata masih berpeluang untuk mencipta kejutan.
Semangat Argentina yang merupakan juara dua kali Piala Dunia semakin pulih selepas diaibkan Arab Saudi 2-0 dalam perlawanan pembukaan akan bergantung kepada pemenang Ballon d’Or tujuh kali, Lionel Messi yang berharap penampilan terakhirnya di Piala Dunia kali ini akan membuahkan hasil.
Penggendali, Lionel Scaloni dijangka melakukan perubahan taktikal di bahagian pertahanan dengan berkemungkinan bakal menurunkan sama ada Gonzalo Montiel, Nahuel Molina mahupun Juan Foyth untuk bergandingan dengan Nicolas Tagliafico ataupun Marcos Acuna untuk merantai penyerang tinggi lampai Poland, Robert Lewandowski yang berjaya menamatkan kemarau jaringan di Piala Dunia ketika membenam Arab Saudi.
Sementara itu, kedudukan Lisandro Martinez dan Nicolas Otamendi dijangka kekal dalam kesebelasan utama Argentina.
Begitupun tumpuan di bahagian tengah mungkin terarah kepada pemain muda, Enzo Fernandez yang kerap dimasukkan sebagai pemain simpanan oleh Scaloni, namun masih mampu beraksi cemerlang, khususnya meledak gol ketika kemenangan 2-0 ke atas Mexico tempohari.
Menurut sumber dalaman, nilai Fernandez kini sudah meningkat menjadi 100 juta Euro berbanding ketika Benfica mula mendapatkan pemain itu tahun lalu dari kelab River Plate dengan nilai hanya 18 juta Euro.
Argentina kini mahu elak tragedi Piala Dunia 2002 Korea Selatan/Jepun apabila perjalanan mereka tersekat di peringkat kumpulan biarpun dibarisi barisan pemain bintang. – Agensi/UTUSAN