AL WAKRAH: Pemain pertahanan Perancis, Lucas Hernandez bakal terlepas baki kempen Piala Dunia 2022 ekoran kecederaan lutut dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D menentang Australia, kelmarin.
Bek kanan Bayern Munich itu dilihat terhincut-hincut dalam aksi perlawanan meskipun pasukannya mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Socceroos.
Ketiadaan Hernandez pasti menyukarkan jurulatih Les Blues, Didier Deschamps yang sedang bergelut dengan kecederaan beberapa pemain utamanya sehingga terpaksa diketepikan daripada kejohanan itu.
Juara 2018 itu sebelum ini kehilangan penyerang mereka, Karim Benzema selepas pemenang Ballon d’Or itu cedera paha kiri dalam latihan, Sabtu lalu.
Antara nama lain yang turut sama tidak dapat beraksi selepas ini ialah Paul Pogba, B’Golo Kante dan Presnel Kimpembe.
“Sejujurnya, perkara ini telah mula menjadi masalah besar,” kata kapten Perancis, Hugo Lloris.
Deschamps kini perlu menyesuaikan pilihan yang ada memandangkan skuadnya telah berkurangan kepada 24 pemain sahaja.
Mengulas mengenai keadaan Hernandez dalam siaran bersama stesen televisyen Perancis, TF1 pada Selasa lalu, jurulatih itu menegaskan pemain itu akan melakukan beberapa ujian ekoran tahap kecederaannya agak serius.
“Kami perlu mengesahkan perkara itu. Itulah titik hitam besar untuk malam ini,” katanya.
Perancis akan menjadi pasukan pertama selepas Brazil (edisi 1962) untuk mempertahankan kejuaraan yang telah diraih pada 2018 lalu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Al Wakrah itu, Perancis terpaksa bangkit selepas Australia menghasilkan jaringan pembukaan oleh Craig Goodwin pada minit kesembilan untuk Socceroos.
Olivier Giroud kemudian menjaringan dua gol dalam perlawanan itu bagi menyamakan kedudukan dengan Thierry Henry sebagai penjaring terbaik Perancis sepanjang masa, dengan Adrien Rabiot dan Kylian Mbappe turut berada menyumbangkan jaringan kemenangan 4-1 itu.
“Dalam separuh masa kedua, kami mungkin mempunyai margin kemenangan yang lebih besar, tetapi kami melakukan banyak perkara yang baik,” kata Deschamps.- Agensi/UTUSAN