Haram orang Islam sertai perarakan dewa Buddha - mufti

Haram orang Islam sertai perarakan dewa Buddha – mufti

TANGKAP layar daripada media sosial yang memaparkan aksi kumpulan kompang pada perarakan Festival Sun Wukong di Seri Kembangan, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menegur tindakan satu pasukan kompang kerana menyertai perarakan Festival Sun Wukong dekat ibu negara akhir bulan lalu.

Menerusi kenyataan yang dipaparkan dalam slot Irsyad Al-Fatwa diterbitkan di laman sesawang rasminya semalam, aksi perbuatan kumpulan itu adalah haram berdasarkan hukum syarak.

“Penglibatan umat Islam dalam program tersebut adalah dilarang kerana sambutan itu sendiri melibatkan upacara yang jelas bertentangan dengan akidah Islam,” tegas agensi berkenaan.

PMWP merujuk pertanyaan dari warganet tempatan susulan tular melalui media sosial yang memaparkan tindakan pasukan kompang dianggotai belia Melayu beragama Islam berarak selepas perbarisan sekumpulan sami Kuil Tian Xi Zong dan muncul pasukan kedua terakhir sebelum ditutup dengan perarakan dewa ‘Datuk’.

 Gambar-gambar aksi Kelab Kompang Jiran Muda Komuniti Rukun Tetangga Apartment Desa Tasik Fasa 6 itu mengundang pelbagai reaksi, malahan perarakan yang dianjurkan Sun Sheng Tang Lion Dance sejauh lapan kilometer di Seri Kembangan, Selangor itu menerima kritikan ramai pihak kerana ada elemen agama lain.

 Mengulas lanjut, PMWP berkata, Sun Wukong amat luas disembah di wilayah selatan China selain di Taiwan serta rantau Asia Tenggara termasuk di Thailand, Vietnam dan Singapura, tidak ketinggalan penganut Buddha di Malaysia dengan dia turut memiliki pelbagai gelaran istimewa seperti Patriark Buddha dan Victorious Fighting Buddha.

Ujarnya, kebanyakan karya hikayat klasik Cina menggambarkan Sun Wukong sebagai monyet legenda yang lahir sehari selepas sambutan perayaan Kuih Bulan mengikut kalendar lunar dan nama individu itu diberikan oleh gurunya, Xuan Zang yang ada mentor bernama Guan Yin dan telah menurunkan kuasa saktinya untuk mengawal monyet ketika dia mengembara ke India.

 Sun Wukong kata PMWP, dilaporkan pernah menemani Xuan Zang bersama-sama dua orang rakannya iaitu Pigsy dan Sandy untuk mengambil kitab suci Buddha di negara berkenaan.

 Justeru tegasnya, penglibatan umat Islam dalam perarakan keagamaan itu adalah ditegah yang berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Ibn Umar dengan diriwayatkan Abu Daud, tambahan pula, pembabitan secara khusus dalam meraikan program itu boleh diumpamakan sebagai reda dengan kepercayaan yang dilakukan penganut agama tersebut.

Larangan sedemikian ujarnya, malah sudah ditetapkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-68 yang bersidang pada 2005 lalu berdasarkan manual Garis Panduan Orang Islam Merayakan Kebesaran Agama Bukan Islam, panel itu menetapkan kriteria antaranya acara tidak disertakan upacara bertentangan akidah.

 Program anjuran bukan Islam itu juga mesti tiada perbuatan berlawanan dengan syarak dan tidak mengandungi amalan tertentu yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam sendiri.

 PMWP sehubungan itu menyeru umat Islam agar sentiasa cakna dan peka terhadap sesuatu perkara terutama apabila melibatkan akidah ketika meraikan perayaan penganut bukan Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya