PORT DICKSON: Setelah seminggu berkempen, calon Bebas di Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah memaklumkan, sudah melawat hampir keseluruhan kawasan di daerah ini.
Beliau yang juga aktivis sosial berkata, hasil maklum balas yang diterimanya, rata-rata semua penduduk sememangnya telah mengenali dirinya.
“Sejak 2 November lalu, saya sudah berada di Port Dickson dan mula bertemu dengan penduduk sekitar. Pada mulanya mereka (penduduk) tidak yakin saya akan bertanding di sini namun selepas melihat manifesto, mereka mula berubah.
“Saya banyak berkempen di kedai makan, restoran dan lokasi tumpuan orang ramai. Jika dilihat semua penduduk di sini mengenali saya dan rasanya kurang daripada dua peratus sahaja yang tidak mengenali saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Sunggala, di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya keadaan dirinya setakat seminggu berkempen, Abdul Rani berkata dia semakin bersemangat malah gambar tular yang menunjukkan dia berada dalam keadaan keletihan baru-baru ini hanyalah gimik sahaja.
“Saya cuba menarik perhatian dengan meletakkan gambar seolah-olah saya agak letih kerana sibuk berkempen. Itu hanya salah satu gimik, saya seronok berkempen.
“Sekarang ini, saya lebih fokus kepada platform media sosial seperti Facebook dan TikTok bagi menarik sokongan pengundi muda dan anggota tentera,” katanya lagi.
Abdul Rani dalam pada itu berharap, pengundi di Port Dickson dapat memilih dirinya pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
“Sejak saya datang ke sini, ramai orang yang mula mengenali dan mereka ajak bergambar. Jadi, saya berharap mereka boleh mengundi saya dan saya akan membawa suara mereka ke Parlimen,” katanya lagi.
Selain Abdul Rani, Parlimen Port Dickson juga akan ditandingi oleh calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun; calon Barisan Nasional (BN) Datuk P.Kamalanathan; calon Pejuang, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan calon Perikatan Nasional (PN), Rafiei Mustapha.-UTUSAN