BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) melaksanakan gerakan besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Get Out The Voters’ (GOTV) bagi membawa pengundi ke tempat mengundi hari ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu dilakukan sejak pukul 7 pagi tadi sebagai kemudahan pengundi pergi ke tempat mengundi dan berakhir pada pukul 6.30 petang nanti, khususnya pengundi yang memerlukan kenderaan untuk keluar mengundi.
“Tidak kurang 230,000 anggota jentera BN bertugas dalam program ini yang sebenarnya sudah bermula sejak semalam.
“Ia bukan sahaja menggunakan kenderaan jentera parti, tetapi juga sukarelawan yang disediakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di negeri yang tiada Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya dalam sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini hari ini.
Presiden UMNO itu berharap cuaca baik sepanjang hari ini agar semua pengundi dapat keluar mengundi.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua anggota jentera BN di Semenanjung dan Sabah yang bertungkus lumus bekerja sehingga ke saat-saat hari pengundian hari ini.
Ahmad Zahid turut yakin BN mampu mendapat bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan bersedia bekerjasama dengan gabungan parti lain untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan tersebut.
“Berdasarkan ‘kiraan kepala’ di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) seluruh negara setakat pukul 12 tengah malam tadi dengan menolak 20 peratus ‘kecederaan’ (tidak mengundi, undi rosak atau mengundi parti lain), Insya-Allah BN masih mendahului gabungan lain,” ujar beliau. –UTUSAN