MUKADIMAH
CALON Barisan Nasional (BN) di Parlimen Muar, MOHD. HELMY ABD. LATIF mungkin masih baharu dalam arena politik negara, namun nama beliau tidak asing dalam kalangan penduduk setempat.
Menggalas jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, jurutera di syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) berdepan cabaran besar apabila menentang pemimpin muda popular, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta seorang lagi ‘otai’ politik, iaitu Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.
Wartawan Utusan Malaysia, NUR ALINA HASSAN mendapatkan pandangan Mohd. Helmy yang merupakan anak jati Muar dalam usahanya membawa suara dan hasrat pengundi Muar ke Parlimen, sekali gus berusaha menawan kembali kubu kuat UMNO di Muar.
UTUSAN: Penyandang Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah individu utama dalam parti politiknya selain merupakan wakil rakyat yang mempunyai pengikut ramai dalam laman sosial. Sebagai calon muka baharu, apakah strategi dilakukan untuk bersaing dengan beliau?
Saya mempunyai kaedah tersendiri dalam menambat hati pengundi. Kebanyakan aktiviti turun padang yang saya hadiri maklum balas sangat baik. Mungkin pihak lawan saya ada nama yang besar dalam dunia politik, tapi saya pula lebih fokus terhadap hubungan mesra dengan pengundi dengan saya mahu disenangi mereka.
Saya cuba memastikan penduduk berasa dekat dengan saya dan tidak kekok apabila berdepan dengan calon wakil rakyat. Ketika ini, saya lihat hubungan erat antara saya selaku anak jati Muar dengan masyarakat kampung telah mencipta semangat untuk terus membela nasib dan kebajikan mereka.
Apakah saudara kira satu kelebihan apabila bertanding di kawasan sendiri berbanding dua lagi pencabar?
Ya, saya tidak nafikan ia umpama batu loncatan untuk saya apabila diberi peluang bertanding di kawasan sendiri. Sebagaimana calon lain yang mempunyai kelebihan masing-masing, saya kira sebagai anak tempatan itu juga merupakan kelebihan saya di Parlimen ini.
Suka saya tekankan slogan ‘Muar untuk Muar’ bermaksud hanya orang Muar sahaja tahu keperluan di Muar, apa isu dan permasalahan berlaku, hanya orang tempatan lebih mengetahui.
Apa yang saya perhatikan kehendak masyarakat di sini terhadap pemimpin adalah mereka mahukan seorang wakil rakyat yang sentiasa berada depan mata dan dekat dengan mereka. Rakyat Muar sudah bosan dengan drama. Justeru, sesiapa pun yang menjadi pemimpin, hentikanlah lakonan, tetapi fokus bekerja demi rakyat!
Pandangan saudara tentang Parlimen Muar ketika ini dan apa keperluan yang akan ditambah baik sekiranya menyandang jawatan sebagai wakil rakyat?
Bermula dari tahun 2018, saya dah tak nampak apa-apa kejayaan dibawa pemimpin sebelum ini ke Muar. Bagi saya, Muar punya kelebihan kerana kita berpotensi dalam bidang ekonomi, pelancongan selain kemudahan prasarana yang ketika ini perlu ditambah baik.
Antara yang masih lagi tercicir adalah penggunaan digital. Saya berhasrat untuk membawa perubahan ini dengan menjadikan Muar sebagai bandar digital. Ia termasuk merancakkan penggunaan ‘cashless’ serta mewujudkan aplikasi ‘food trail’.
Ini antara keperluan di Muar kerana boleh menarik pelancong melalui aplikasi berkenan. Kita mahu sebuah platform yang boleh mengesyorkan kedai makanan popular dan enak untuk pengunjung. Pastinya semua orang tahu mi bandung terkenal di Muar, tetapi gerai manakah yang menepati sajian sempurna. Jadi pendapat saya itulah antara perkara yang saya nak bawa di Muar ini sebab kita kaya dengan hasil laut, kraf tangan serta produk tempatan.
Rugi jika ia tidak dikomersialkan menerusi sistem digital.
Sebagai orang muda, apakah keperluan dan kehendak masyarakat muda di Muar yang saudara kira perlu diperjuangkan?
Antara yang menarik minat saya adalah cadangan membina projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR). Saya begitu terkesan apabila projek itu dibatalkan kerana dalam pelan itu Muar tidak terkecuali untuk mempunyai stesen HSR sendiri.
Cuba bayangkan sekiranya ia diteruskan, berapa banyak keuntungan yang boleh diperolehi bukan hanya pelancong, namun rakyat Muar. Sekiranya stesen itu dapat diwujudkan, saya percaya golongan muda pasti ramai berlumba-lumba mencari rezeki di sini sama ada menerusi perniagaan atau bekerja.
Impian saya sebagai anak Muar adalah jika kemenangan PRU ini menjadi milik BN termasuk di Parlimen ini, saya mahu berjuang habis-habisan untuk pembinaan semula projek HSR bagi memastikan golongan muda mendapat manfaat besar daripada limpahan ekonomi ini.
Tempoh berkempen kini memasuki minggu terakhir, jadi bagaimana saudara melihat sambutan masyarakat Muar terhadap BN?
Saya kira penduduk di sini masih ramai yang sayangkan BN, khususnya UMNO. Alhamdulillah, selama seminggu berkempen saya terima maklum balas positif.
Saya tidak kekok mendekati masyarakat di sini begitu juga mereka. Apa sahaja program dilaksanakan ketika ini mendapat respons yang baik.
Namun, kerja keras perlu diteruskan dan kita jangan toleh untuk melihat atau pertikaikan kekurangan pihak lawan. Kita fokus dengan kerja dan teruskan berkhidmat sehabis baik kepada masyarakat. Apa yang utama adalah memahami permasalahan setempat seterusnya perjuangkan nasib mereka, itu misi saya. – UTUSAN