KUALA SELANGOR: Penyandang Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yakin bahawa beliau akan menjadi ahli Parlimen kawasan tersebut bagi penggal kedua berturut-turut.
Menurutnya, pengalaman selama 10 tahun menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut akan digunakan sebaik-baiknya bagi menewaskan empat pesaingnya, termasuk calon Barisan Nasional (BN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Hampir 10 tahun berada di sini, jadi, saya tahu apa yang dimahukan oleh penduduk di sini.
“Apapun, saya tetap berwaspada dengan kemampuan pesaing lain dan lakukan kempen sebaik mungkin ketika ini,” katanya dalam program minum petang bersama rakyat Kuala Selangor di Kampung Bukit Badong, di sini, semalam.
Beliau mengakui bahawa Tengku Zafrul menjadi pilihan kebanyakan netizen dan media sosial, namun, aspek tersebut tidak boleh dijadikan kayu ukur bahawa Tengku Zafrul akan menjadi Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Sebaliknya, tegas Dzulkefly, segala sokongan tersebut harus diterjemahkan dalam bentuk undian, justeru, persaingan bagi merebut kerusi kawasan terbabit masih lagi terbuka.
“Saya masih lagi melakukan kempen di tempat tumpuan, rumah ke rumah serta mengadakan program bermanfaat kepada rakyat.
“Alhamdulillah, penduduk di sini masih lagi menerima baik kehadiran saya, malah, ramai yang dijumpai menyatakan mereka akan mengundi saya pada 19 November ini,” ujar bekas Menteri Kesihatan itu.
Dzulkefly menjelaskan bahawa pengundi baharu serta pengundi 18 tahun akan menjadi kunci utama untuk kemenangan mana-mana calon.
Sehubungan itu, pada kempen kali ini, beliau memperbanyakkan perjumpaan dengan golongan belia bagi memikat mereka untuk mengundinya.
“Saya juga bakal menerbitkan kad laporan maya yang mana akan tunjukkan apa yang telah saya lakukan sepanjang menjadi Ahli Parlimen Kuala Selangor serta Menteri Kesihatan.
“Jadi, saya harap pengundi di sini menggunakan kebijaksanaan mereka, iaitu memilih mereka yang mampu memberi perkhidmatan terbaik selepas PRU15,” tegasnya. –UTUSAN