SUNGAI BULOH: Walaupun Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ia bukan jaminan bahawa calonnya di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaludin akan jadi pardana menteri.
Oleh itu Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menganggap kenyataan Khairy itu hanya gimik politik untuk menarik sokongan pengundi.
“Kalau…Ini kalau ya tuan-tuan, kalau BN menang PRU15 dan Khairy juga menang di sini, tiada jaminan untuk dia dapat apa-apa jawatan dalam Kabinet kerana dia bercanggah dengan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi).
“Rakyat Sungai Buloh jangan tertipu dengan gimik politik, kalau difikirkan…Tiada jaminan untuk Khairy menang di sini, jadi kenapa dia dihantar oleh Presiden UMNO ke kerusi selamat PH. Kalau menang pun dia hanya jadi Ahli Parlimen biasa.
“Khairy juga tidak usahlah bermimpi di siang hari dan memberi bayangan itu dan ini kerana tempatnya juga tiada jaminan dalam UMNO,” katanya dalam ceramah umum di Taman Saujana Utama 2 di sini semalam.
Turut turun padang membantu kempen calon PH kerusi Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan semalam ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini, Khairy menyatakan hasrat mahu memimpin UMNO dan menjadi Perdana Menteri satu hari nanti namun, ia bukanlah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika BN mendapat mandat rakyat membentuk kerajaan.
“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya di P107. Satu hari nanti kita akan pimpin Malaysia, Insya-Allah dengan sokongan rakan-rakan parti satu hari nanti saya hendak ketuai UMNO dan menjadi Perdana Menteri dan saya kena menang di sini.
“Ini kali pertama saya kata begini tetapi bukanlah sekarang kerana jika kita menang kekanda saya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri Malaysia, saya umur 46 tahun boleh tunggu lagi tapi jangan lama sangat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, dengan nasib Khairy yang masih samar dalam UMNO, rakyat Sungai Buloh wajar untuk memilih Ramanan pada Sabtu ini sekali gus menyumbang satu kerusi kepada PH untuk membentuk kerajaan.
“Ini bukan pertembungan antara Ramanan dan Khairy semata-mata, ia melibatkan pertembungan tiga gabungan besar. Sekarang PH dilihat kehadapan dan diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) dan yang ketiga barulah BN,” katanya. – UTUSAN