Dakwaan Muhyiddin tidak berasas, Felda masih sokong BN - Utusan Malaysia

Dakwaan Muhyiddin tidak berasas, Felda masih sokong BN

ONN HAFIZ GHAZI (duduk tengah) bersama warga Felda dalam program Himpunan #budakFELDA 2022 di Felda Inas, Kulai hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Felda bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) tidak bersandarkan realiti.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin warga tanah rancangan tersebut termasuk generasi kedua Felda tetap memberi sokongan padu kepada BN.

“Saya rasa, Tan Sri Muhyiddin dia bercakap (Felda tidak lagi menyokong BN) tidak bersandarkan kepada fakta, kerana kalau kita lihat ‘track record’, memang BN yang terus membela mereka.

“Semasa Pakatan Harapan (PH) pegang pentadbiran kerajaan dahulu, harga sawit pernah jatuh sehingga bawah RM300 satu tan. Ketika itu warga Felda mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan.

“Mereka hendak beli barang keperluan, bahan-bahan untuk peneroka dan untuk melepaskan kos pun tidak mencukupi, namun apabila pemimpin BN kembali pegang jawatan, harga sawit berjaya dinaikkan sehingga RM800 satu tan,” katanya selepas menghadiri program Himpunan #budakFELDA 2022 di Dewan Felda Inas, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.

Kelmarin, Muhyiddin dilaporkan berkata, Felda bukan lagi kubu kuat BN pada PRU15 ini kerana penduduk Felda sudah berubah dan memberikan sambutan kepada parti politik lain termasuk PN. 

Mengulas lanjut, Menteri Besar Johor itu berkata, warga tanah rancangan itu sudah bersikap lebih terbuka dan bersedia untuk mendengar perubahan yang akan dibawa.

Kata beliau, sepanjang  kempen minggu pertama PRU15 BN telah kembali mendapat tempat dalam  kalangan masyarakat, termasuk golongan muda.

“Sepanjang seminggu kempen, saya melihat program-program anjuran BN Johor mendapat sokongan daripada penduduk, termasuklah golongan muda daripada kaum Melayu, Cina dan India,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya