BAGAN DATUK: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad, cuba mengalihkan isu apabila mendakwa berlaku kerjasama antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai ‘bapa dalam melencongkan isu’ (father of issue diversion), terpaksa membuat dakwaan itu kerana mengetahui partinya akan kalah teruk.
“Dr. Mahathir ini sering menganggap dirinya semua benar, spekulasinya kononnya benar.
“Beliau melakukan telahan demikian kerana khuatir partinya akan mengalami kekalahan teruk, terbukti apabila partinya meletakkan calon di semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan semuanya kalah serta hilang wang deposit.
“Jadi, beliau tidak boleh menganggap popularitinya berada pada tahap ketika memerintah Malaysia selama 22 tahun,” katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat, di sini hari ini.
Semalam, ketika melancarkan Pejuang Sabah di Kota Kinabalu, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan membantu menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi Ahmad Zahid dan membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari penjara sekiranya disokong menjadi perdana menteri.
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu dipetik berkata, beliau mendapat maklumat Anwar dan Ahmad Zahid sudah mengadakan perbincangan untuk bekerjasama.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, Dr. Mahathir mengetahui tidak boleh mengharapkan jenama parti baharunya mendapat sokongan rakyat, malah kemungkinan besar akan kalah di Parlimen Langkawi yang ditandinginya.
SPEKULASI
Ditanya tindakannya dan Anwar yang kelihatan tidak mengkritik antara satu sama lain yang menguatkan lagi spekulasi tersebut, Presiden UMNO itu mempersoalkan keperluan untuk berbuat demikian.
Beliau menjelaskan sepatutnya setiap parti bertanding menampilkan apa yang akan mereka laksanakan jika dipilih rakyat menjadi kerajaan, bukannya memburuk-burukkan pihak lawan.
“Pendekatan untuk mengutuk atau mengaibkan calon lawan sepatutnya tidak dilakukan, saya sendiri pun bukan sahaja tidak bercakap perkara tidak baik kepada orang lain, malah orang yang menganiaya kita pun kita tidak pernah sebut.
“Pendekatan saya politik matang tidak menyebut perkara buruk mana-mana calon,” ujar beliau.
Begitupun, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan pihak lain bukan sahaja dengan PH yang dipimpin Anwar tetapi juga dengan gabungan parti lain.
Jelas beliau, ia kerana pendekatan BN ialah untuk memastikan kestabilan politik di negara ini.
Beliau memaklumkan sebarang keputusan terhadap perkara tersebut adalah bergantung kepada keputusan diperoleh BN dalam PRU15 sama ada parti itu boleh menubuhkan kerajaan bersendirian atau memerlukan gabungan dengan parti lain
“Waktunya belum sampai, kita ada 11 hari lagi untuk melihat situasinya…saya merasakan lebih baik kita ‘melepasi jambatan’ dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kenapa kita perlu bekerjasama dengan Anwar sahaja, tetapi boleh juga bekerjasama dengan pemimpin lain,” jelasnya. – UTUSAN