PUTRAJAYA: Meskipun dianggap sebagai calon paling tua untuk Parlimen Sepang, Datin Che Asmah Ibrahim tetap bersemangat waja bagi menawan kerusi berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau malahan mendakwa ada kekuatan tersendiri menumbangkan Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd. Harun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Bagaimanapun Ketua Wanita Gerakan Tanah Air (GTA) yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, pihaknya menyerahkan kepada pengundi membuat penilaian bijak.
“Saya tetap bekerja keras untuk memperkenalkan diri,” katanya.
Beliau turut berdepan Anuar Basiran dari UMNO sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Kerusi itu menyaksikan persaingan sengit lapan penjuru termasuk dua calon Bebas setelah penyandang, Mohamed Hanipa Maidin mewakili PH digugurkan daripada bertanding kali ini.
Mengulas lanjut, Che Asmah, 59, yang menetap di Sepang kira-kira 22 tahun menyenaraikan beberapa perkara akan beliau bawa sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat baharu Sepang.
“Ini kawasan majlis perbandaran yang agak baharu dan pesat membangun dengan banyak projek perumahan dibuka. Jadi, saya rasa ini adalah masa yang baik untuk masuk,” katanya.
Bekas Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor itu turut berharap akan dapat menyumbang kepada konsep pembangunan mesra lestari berdasarkan pengalaman kerjayanya dahulu.
Pada masa sama, beliau akan memanfaatkan kemahirannya dalam pengurusan alam sekitar kerana masih banyak boleh dirancang baik di Sepang selain belajar kesalahan di tempat lain.
Che Asmah bahkan optimis dapat menyumbang untuk membangunkan Sepang menjadi satu kawasan pembangunan lestari tetapi masih meraikan kewujudan kampung-kampung tradisi.
Dalam nada tegas, beliau berkata, tidak semestinya perkampungan lama itu diambil tanah penduduk untuk kemudian dibangunkan pula dengan rumah moden pencakar langit kos tinggi.
Ujarnya, keberadaan kampung tradisi di Sepang perlu dikekal di samping terus memastikan keperluan prasarana asas awam dipenuhi agar kekal sebagai sesuatu unik di kawasan ini.
Beliau turut berjanji akan cakna melihat masalah ketara di Sepang iaitu banjir, pencemaran bau najis babi dan pembakaran terbuka yang sekian lama menghantui penduduk daerah itu.
“Orang semua tahu kalau bah sahaja, Sepang antara zon berisko tinggi terutama banjir kilat, sewaktu monsun dan air pasang besar yang berkait cara kawasan dibangunkan,” katanya.
Begitu juga isu ladang babi di Tanjung Sepat yang tidak selesai setelah beberapa kerajaan negeri memerintah dan beliau sendiri pernah terlibat dalam mengenal pasti kaedah terbaik.
Malangnya selama ini Che Asmah melihat masalah berkenaan gagal diselesaikan kerana tidak ada kehendak politik untuk dilaksanakannya sehingga kini dengan status adalah sama.
Di samping itu, beliau turut akan melihat masalah pembakaran terbuka meskipun sekarang sudah ada sedikit perubahan namun ada banyak lagi boleh ditambah baik pihak berkuasa. –UTUSAN