PETALING JAYA: Tan Sri Noh Omar sah tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kerusi itu sebaliknya akan ditandingi muka baharu, Habibah Mohd. Yusof.
Selain itu, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif juga tidak akan mempertahankan Jempol apabila Shamsulkahar Mohd. Deli akan bertanding di kerusi tersebut.
Namun, Barisan Nasional (BN) membuat kejutan apabila dua bekas Ahli Parlimen Pas tersenarai sebagai calon di Kelantan dan Terengganu.
Che Abdullah Mat Nawi akan mempertahankan kerusi Tumpat manakala Mohd. Khairuddin Aman Razali akan mempertahankan Kuala Nerus.
Tiga lagi kerusi akan ditandingi oleh A. Kohilan Pillay (Batu), Chew Yin Keen (Bandar Tun Razak) dan Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah).
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menjelaskan, Tumpat dan Kuala Nerus menyaksikan BN menampilkan dua calon secara direct candidate atas sifat keterbukaan dan perpaduan.
“Dengan pengumuman ini, ia menjadikan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh BN bagi kawasan Parlimen adalah sebanyak 178 kerusi.
“BN yakin calon-calon yang dikemukakan dengan pelbagai latar belakang dan kelayakan, insya-Allah, mampu untuk menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak,” katanya dalam kenyataan. –UTUSAN